semoga kita memperoleh manfaat daripada setiap kata-kata yang keluar dari bibir kita

Saturday, June 5, 2010

Kuiz Jumaat (Jun-Minggu Pertama)

Salam kesatuan

(soalan diberi oleh pakcik @ Ustaz Kamarudin)
Ayat 9
Apakah peristiwa bersejarah mengenai ayat tersebut?

kita ambil bermula daripada ayat 8.

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan belenggu yang memberkas kedua-dua belah tangan mereka ke batang leher masing-masing hingga dagu mereka menjadi terdongak keatas(8).Dan Kami jadikan juga penghadang untuk menghalang penglihatan mereka dari segenap penjuru sama ada di sebelah hadapan mahupun di sebelah belakang mereka. Oleh sebab itulah mereka tidak dapat melihat engkau(9).”

Peristiwa yang dimaksudkan adalah ketika Nabi s.a.w hendak berhijrah ke Madinah. Pemuda-pemuda Quraisy bertindak mengepung rumah baginda dan bercadang akan membunuh baginda sewaktu baginda keluar dari rumah ketika hampir waktu subuh. Bagaimanapun, sewaktu baginda keluar meninggalkan rumahnya, tiada seorang pun daripada mereka yang melihat baginda.
Makna yang tersirat di dalam dua ayat itu ialah Allah menyifatkan orang-orang musyrikin dan orang-orang kafir itu sebagai orang yang buta hidayah. Mereka diumpamakan seperti orang yang telah terbelenggu tengkoknya oleh rantai besi yang kukuh sehingga menyebabkan mereka sentiasa terdongak ke atas dan sentiasa terkurung di dalam tembok yang memagari mereka di segenap penjuru. Maksud belenggu dan tembok itu ialah kepentingan duniawi berupa pangkat, pengaruh, dan harta benda. Apabila seseorang itu dibelenggu oleh pengaruh kebendaan, mereka tidak lagi dapat melihat kebenaran dan sentiasa pula menentangnya dengan gaya bongkak dan sombong. Golongan ini amat sukar menerima nasihat dan seruan agama.

Ayat 10 dan 11
Mana ayat suci yang menerangkan jiwa kita dan mana yang menerangkan jiwa israel?

“Mereka (orang yang tidak mahu beriman) akan mengambil sikap yang serupa sama ada engkau menasihati mereka atau pun tidak. Yang pasti mereka tidak akan beriman (10).Sesungguhnya  nasihatmu akan hanya dituruti oleh orang yang mahu mengikut ajaran al-Quran dan juga oleh orang yang takutkan azab Tuhan Yang Maha Pengasih walaupun mereka tidak dapat melihat-Nya. Oleh itu berikanlah khabar gembira kepada mereka bahawa mereka akan memperoleh keampunan dan ganjaran yang besar kelak(11).”


Dalam ayat ke-10 dan ayat ke-11, Allah menyatakan bahawa dalam masyarakat manusia terdapat dua golongan, iaitu golongan yang tidak mahu beriman dan golongan yang mahu beriman. Golongan yang tidak mahu beriman tetap akan menolak segala seruan Islam dan mereka tetap menganggapnya sebagai seruan biasa yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Justeru itu mereka pasti akan menolak segala hujah yang disampaikan kepada mereka. Allah menyatakan bahawa manusia tidak mempunyai keupayaan untuk memujuk golongan ini supaya beriman. Bagi golongan yang mahu beriman pula, mereka cuba memahami isi kandungan wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada para rasul. Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. Dalam al-Quran diterangkan segala bentuk ganjaran yang akan diberi oleh Allah kepada orang yang beriman dan berbagai bentuk azab siksa yang akan dikenakan terhadap orang yang tidak mahu beriman. Mereka meneliti semua keterangan yang disebut Allah dalam kitab suci itu lalu berusaha untuk mendapatkan segala ganjaran baik di samping berusaha dengan gigih untuk menghindarkan diri daripada azab siksa Allah di akhirat walaupun mereka tidak pernah melihatnya dengan mata kasar segala bentuk siksaan itu di dunia ini.

Wallahu'alam

0 comments:

 

©2009 INTI I.U. MCS | by TNB