semoga kita memperoleh manfaat daripada setiap kata-kata yang keluar dari bibir kita

Thursday, September 2, 2010

Senyuman Rasulullah (1)

Rasulullah Tersenyum Melihat Abu Bakar Dicaci Dan Dihina


Dengan kemuliaan dan kesempurnaan akhlak dan jiwanya, apabila Rasulullah dihina atau dicaci baginda tidak membalas sedikitpun, sama ada dengan perkataan mahupun tindakan. Baginda lebih memilih berdiam atau tersenyum kepada orang yang menyakitinya itu.


Oleh itu, ketika Rasulullah melihat Abu Bakar dicaci dan dihina oleh seorang lelaki dan tidak membalasnya, Rasulullah tersenyum melihatnya. Namun begitu, Abu Bakar pernah juga terpancing emosinya dan membalas caciannya, maka Rasulullah langsung pergi dari tempat tersebut.


Abu Hurairah meriwayatkan seperti berikut:


Suatu ketika, dengan tiba-tiba ada seorang lelaki datang memaki dan menghina Abu Bakar. Pada ketika itu Rasulullah sedang duduk tidak jauh dari tempat Abu Bakar. Baginda melihat dengan hairan dan tersenyum dengan sikap Abu Bakar yang tidak membalasnya. Kemudian apabila lelaki itu memaki di luar batas dan sangat menyakitkan, Abu Bakar terpancing untuk membalas dan menjawab seperlunya. Pada ketika itulah Rasulullah langsung pergi meninggalkan mereka. Maka apabila melihat Rasulullah pergi, Abu Bakar segera mengikutinya.


Abu Bakar berkata: "Ya Rasulullah, lelaki itu telah memakiku sedang engkau tetap sahaja duduk. Namun ketika aku membalas sebahagian perkataannya engkau langsung pergi."


Rasulullah menjelaskan kepada Abu Bakar: "Sebenarnya pada waktu itu sudah ada malaikat yang membalasnya. Apabila engkau membalas caciannya, maka syaitan pun hadir. Dengarlah wahai Abu Bakar, ada tiga perkara yang seluruhnya benar:


  1. "Tidak ada seorang hamba yang dianiaya, lalu ia memaafkan kerana Allah, melainkan Allah akan memuliakan dengan pertolonganNya"
  2. "Tidak ada seorang lelaki pun yang membuka pintu pemberian dengan maksud untuk memelihara hubungan, melainkan Allah akan menambah pemberian itu hingga berlipat ganda"
  3. "Tidak ada seorang lelaki yang meminta-minta dengan maksud memperbanyak harta, melainkan Allah akan menguranginya"
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Abu Bakar dengan menjawab tidaklah bercanggah denga syarak, namun Rasulullah lebih suka melihat Abu Bakar bersikap diam dan tidak menjawab cacian orang itu. Kerana sikap seperti ini merupakan cerminan daripada keluhuran budi pekerti dan akhlak yang mulia.

Wallahualam.

(Dipetik daripada buku "Senyuman Rasulullah Menambat Hati Para Sahabat" keluaran Pustaka Ilmi)

0 comments:

 

©2009 INTI I.U. MCS | by TNB