semoga kita memperoleh manfaat daripada setiap kata-kata yang keluar dari bibir kita

Wednesday, August 18, 2010

kisah semut dan kerajaan semut

Ianya bermula dengan satu kematian dan dihadapkan ke hadapan Tuhan Semut.
“Apakah yang engkau telah lakukan didunia dahulu wahai Gadis Semut” tanya Malaikat Pendakwa di kamar Mahkamah Akhirat Tuhan Semut.
“Errr… saya melakukan zina sehingga melahirkan seekor anak semut yang comel” jawab Gadis Semut kembali. Matanya berlinangan air mata mengenangkan peristiwa itu. Kepalanya tertunduk dan tidak mampu diangkat untuk memandang wajah Malaikat Pendakwa tersebut.
“Tidakkah engkau tahu bahawa zina ini berdosa dilakukan? Tidakkan ibu-bapamu ada mengajar kepadamu tentang ilmu agama?” soal balas Malaikat Pendakwa yang mukanya teramat bengis.
“Saya tidak diajar langsung tentang ilmu agama, Tuan” jawab Gadis Semut.
“Panggil bicara kedua-dua orang tua Gadis Semut ini sekarang juga” bentak Malaikat Pendakwa kepada Malaikat Pembantu yang lain.
“Wahai ibubapa kepada Gadis Semut, tidakkah kamu tahu bahawa kamu wajib memberikan pendidikan agama kepada anak gadismu itu” tanya Malaikat Pendakwa dengan tegasnya.
“Kami lalai tuan, Kami sibuk dengan urusan pekerjaan kami sehari-hari. Walaupun begitu kami ada menghantar anak gadis kami ke sekolah. Sepatutnya Ustaz dan Ustazah disekolah mengajarnya ilmu agama” jawab ibubapa Gadis Semut tersebut.
“Panggil Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut sekarang juga” bentak Malaikat Pendakwa.
“Adakah kamu ada mengajar Gadis Semut ini tentang ilmu agama?” tanya Malaikat Pendakwa kepada Ustaz dan Ustazah sekolah Gadis Semut tersebut. “Kami ada mengajarnya mengenai imu agama namun ianya terbatas kepada waktu yang dibenarkan dalam sistem pendidikan negara. Dalam seminggu kami cuma dapat mengajarkan ilmu agama cuma 5 waktu sahaja. 5 waktu ini cuma 225 minit sahaja tuan” jawab Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.
“Siapakah yang menetapkan waktu-waktu ini” tanya Malaikat Pendakwa.
“Kementerian Pendidikan tuan, yang diketuai oleh Menteri Pendidikan.” dakwa Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.
“Panggil kekamar bicara Menteri Pendidikan” bentak Malaikat Pendakwa lalu ditanya pula.
“Adakah kamu yang memimpin Kementerian Pendidikan yang mentetapkan cuma 225 minit sahaja seminggu Pendidikan ilmu agama diajar kepada penuntut sekolah?”
“Ya tuan, memang saya yang memimpin Kementerian Pendidikan. Saya cuma menjalan tugasan saya seperti yang diarahkan oleh Kabinet, tuan” terketar-ketar Menteri Pendidikan tersebut menjawab soalan Malaikat Pendakwa tersebut.
“Siapa yang mengetuai Kabinet Kerajaan kamu itu” tegas soalan dari Malaikat Pendakwa.
“Perdana Menteri kami, tuan” lemah balasan Menteri Pendidikan yang kini tidak mampu mengangkat muka.
“Panggil ke kamar bicara Menteri Besar Kerajaan Semut ini sekarang juga” bentak Malaikat Pendakwa kepada pembantu-pembantuny a.
Lemah longlai Menteri Besar diheret ke kamar bicara oleh Malaikat Pembantu. Kakinya tampak lemah tidak dapat mengatur langkah. Wajahnya nampak pucat lesi.
“Benarkah kamu yang memimpin kabinet Kerajaan Semut ini.” tanya Malaikat Pendakwa dengan tegas kepada Menteri Besar.
“Ya tuan, Memang saya. Memang saya yang membuat semua keputusan yang diputuskan oleh kabinet. Malah memang saya yang mengarahkannya.” jawab Menteri Besar lemah.
“Jadi memang kamu mengaku bahawa kamu tahu apa akibatnya atas arahan dan keputusan yang kamu lakukan” tanya Malaikat Pendakwa.
“Ya memang saya tahu tuan, Namun saya melakukannya mengikut mandat yang diberikan kepada saya oleh rakyat negara saya yang memilih saya menjadi pemimpin mereka melalui satu pilihanraya. Apa yang saya lakukan adalah sekadar apa yang diharapkan oleh rakyat negara saya” lemah jawapan Menteri Besar tersebut.
“Baiklah, sekarang saya serahkan kepada Tuhan Semut untuk membuat keputusan perbicaraan ini” lontar Malaikat Pendakwa.
“Tuhanku, Menteri Besar ini mengaku bahawa atas mandat yang diberikan kepadanya oleh rakyat semut melalui pilihanraya, maka beliau mengarahkan kabinet negaranya yang seterusnya menetapkan bahawa Pendidikan ilmu agama cuma 225 minit sahaja seminggu yang mana diberitakan tidak mencukupi sehinggakan Gadis Semut ini telah melakukan satu dosa besar iaitu zina.” bentang Malaikat Pendakwa kepada Tuhan Semut dengan lengkap dan tertibnya.
“Barang siapa yang memilih (mengundi) Menteri Besar dan Kerajaan yang memerintah tersebut dalam pilihanraya hendaklah dimasukkan kedalam neraka keseluruhannya atas sebab dosa zina yang dilakukan oleh Gadis Semut tersebut. Ini termasuklah semua yang terlibat membiarkan Gadis Semut melakukan dosa zina” titah Tuhan Semut kepada Malaikat Pendakwa dan semua Malaikat seluruhnya.

Jika anda seorang yang berakal, tentunya anda dapat menangkap maksud petikan ringkas cerpen diatas. Semoga Allah tidak melaknat kita dan memasukkan kita keseluruhannya kedalam neraka atas sikap sambil lewa dan cuai kita dalam memilih pemimpin dan pimpinan negara. Walaupun ada satu dosa kecil yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka kita pun akan dimasukkan kedalam neraka jika kita membiarkan dosa ini dilakukan walaupun tanpa kita sedar. Undi kita walaupun hanya sekadar satu garisan diatas sekeping kertas akan menyebabkan kita dimasukkan kedalam syurga ataupun neraka. Ingat, apakah jawapan yang mampu kita berikan diakhirat kelak sewaktu dibicarakan dihadapan Allah, Tuhan Rabbul Jalil.

Ingat sumpah kita, janji kita, mission statement kita
"Aku berSaksi Tiada ilah yang disembah melainkan Allah. Aku berSaksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah"
Sediakanlah jawapan anda. Undilah dengan iman, amal dan akal. Jangan biarkan anda dipengaruhi dengan kebendaan dan keduniaan yang mana ianya tidak akan kekal. Sesuatu yang pasti dan Pasti dilalui adalah Kematian. Setiap patah perkataan yang kita tulis, setiap apa yang kita lakukan,tangan- tangan dan kaki-kaki kita akan menjadi saksi. Tanpa cuai walau sedetik pun waktu berlalu, ada yang menghisabnya.

Wallahualam.

Thursday, July 15, 2010

termostat vs. termometer

Assalamualaikum..

Apakah sudah terlewat untuk mencoret perkongsian ilmu yang diperoleh ketika menghadiri Talk Dr. Danial Zainal Abidin pada sabtu (10hb) lepas?? Tidak! Tiada unsur terlewat dalam penyampaian mahupun perkongsian ilmu kerana sifat ilmu itu sendiri tidak pernah dan tidak akan basi. Apatah lagi luput dan pupus."Better late than never" kan?

Termostat dan termometer..analogi yang cukup mudah untuk difahami. Terkait dengan sifat dan akhlak manusia dari dua zaman yang berbeza.. atau jika diperhalusi lagi perkataan manusia itu..ia sebenarnya merujuk kepada manusia yang menjadikan Allah sebagai tuhannya..islam itu sebagai ad-Dinnya...al-Quran sebagai kitabnya dan Muhammad S.A.W sebagai rasulnya.

sebelum analogi termostat dan termometer itu diperjelaskan tentang perkaitannya dengan umat islam, kenali dulu dua zaman ini. Pertama, zaman khulafa'. dan kedua, zaman sesudah kejatuhan khulafa'.

Zaman Rasulullah dan Khulafa'
bermula dengan penyebaran islam secara rahsia, diikuti dengan dakwah secara terbuka, islam kian berkembang dan berkembang. Penentangan demi penentangan dihadapi, namun usaha memperkenalkan manusia sejagat kepada islam tidak pernah padam, malah bertambah kuat. Hayati bagaimana rasulullah S.A.W menerima penghinaan dari musyrikin mekah, dibaling najis, keluarga baginda dipulau dan baginda di tawarkan wanita cantik, wang dan pangkat agar usaha menyebarkan islam dihentikan namun ditolak oleh baginda. Hayati bagaimana selepas kewafatan rasulullah, Saidina Abu Bakar mempertahankan kesucian islam dari masyarakat yang enggan membayar zakat dan nabi palsu. Selami bagaimana pada zaman Saidina Umar al-Khatab, empayar islam berjaya mengalahkan empayar rome dan parsi justeru merubah empayar islam daripada empayar yang lemah kepada empayar yang paling kuat. Perhalusi bagaimana islam mencapai "Golden Age" pada zaman Bani Abbasiyah dimana setiap segi dan sudut sistem pentadbirannya begitu stabil dan sistematik. Fahami bagaimana pada zaman Turki Uthmaniyah, Kota Constantinople berjaya di tawan oleh umat islam yang ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Mehmed al-Fatih. Daripada zaman Rasulullah hinggalah zaman Turki Uthmaniyah, islam terus berkembang dan digeruni pihak lain. Kejayaan tatkala itu dicapai satu persatu tanpa megah dan takbur.

Zaman selepas khulafa'
kekuatan dan kehebatan islam dicemburui. Umat islam mula dicucuk dengan hiburan. Pemerintahan islam semakin lemah. Keadaan bertambah buruk setelah Kamal Attartuk Laknatullah memegang tampuk pemerintahan kerajaan Islam. Hukum islam diperdagangkan. Aqidah islam dipermainkan. Ajaran islam dipertaruhkan. Islam bertambah mundur. Hedonisme, kapitalisma, dan sekularisma bermaharajalela. Hingga kini..islam kekal mundur dan ditindas. Zina, buang anak, jenayah, dan rasuah sering menjadi topik utama di dada-dada akhbar hingga masyarakat langsung menganggapnya perkara biasa. Tidak perlu berasa malu mahupun bimbang dengan hal sosial seperti ini memandangkan ia sudah menjadi 'darah daging' masyarakat kini. Apa sudah jadi? Di mana maruah islam? Di mana kedudukan al-Quran dan al-Sunnah ketika ini?


Sudah nampak beza antara dua zaman ini? Mari berbalik semula pada topik utama post ini, termostat dan termometer. Termostat dan termometer, dua-dua mengukur suhu. Tapi, termostat bukan setakat mengukur, malah boleh merubah dan mengawal suhu. Sedangkan termometer hanya digunakan untuk mengukur suhu sahaja. Apa kaitannya dengan dua zaman ini? umat islam pada zaman rasulullah dan khulafa' ibarat termostat. Mereka pelajari al-Quran dan sunnah...kemudian mereka fahami dan hayati isinya.. dan akhirnya mereka mengamalkan apa yang mereka fahami. Mereka berilmu dan mereka amalkan ilmu yang mereka miliki untuk mengubah kehidupan masyarakat daripada mundur kepada maju, daripada gelap kepada cerah dan daripada jahil kepada intelek.

Perhatikan kehidupan masyarakat jahiliyah, mereka hidup dalam keadaan jahil dan mundur. Tanam anak perempuan hidup-hidup, arak berleluasa, mempercayai perkara karut dan mengamalkan semangat asabiyah antara kaum. Kemudian islam datang menghapuskan semua amalan buruk masyarakat arab jahiliyah. Contoh paling jelas, kedatangan islam berjaya menghapuskan semangat asabiyah antara kaum dan mewujudkan semangat persaudaraan seperti yang dilakukan oleh muhajirin dan ansar. Kenapa? kerana mereka ingin merubah hidup mereka agar bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Dan perubahan itu mampu menjadikan kehidupan mereka bertambah baik.. seperti termostat, mereka ukur gaya hidup masyarakat jahiliyah dan mereka mengubah menjadi lebih baik.

Macam mana pula dengan termometer? kenapa dikaitkan dengan masyarakat islam selepas zaman khulafa'? atau lebih dekatnye, zaman sekarang? termometer hanya boleh mengukur suhu, tidak boleh mengubah suhu. Sama seperti masyarakat kini.. kita didedahkan dengan bermacam tabii buruk sesetengah masyarakat. Baik di media elektronik mahupun media cetak. Boleh jadi, tabii itu berlaku depan mata. Jelasnya, kita tahu...tabii itu bertentangan dengan apa yang kita pelajari daripada al-Quran dan al-Sunnah, tapi kita tidak bertindak untuk merubah tabii itu malah kita membiarkannya bermaharajalela kerana beranggapan itu adalah fenomena biasa di akhir zaman. Tuntasnya, kita adalah masyarakat termometer yang peka dengan hal sekeliling tetapi gagal untuk merubahnya menjadi lebih baik. Tidak seperti masyarakat termostat suatu masa dulu yang bukan sahaja peka dengan perihal sekililing, malah berusaha untuk mengubah hidup masyarakat dan tegar berjuang mengembangkan islam.

Jadi, apa peranan kita? adakah kita ingin terus menjadi masyarakat termometer atau ingin bangkit menjadi masyarakat termostat? Dalam post yang akan datang..insyaAllah...akan dibincangkan pula 7 FORMULA untuk menjadi termostat.
 
sekian dahulu...


akan bersambung...

Thursday, June 24, 2010

Malam Pertemuan MCS


Salam kesatuan.
Mohon maaf atas kelambatan meng"update" blog ini. Gambar menceritakan situasi. Oleh itu,tanpa menulis dengan panjang lebar, jom kita lihat gambar-gambar di bawah.

 bertungkus lumus mengatur kerusi,meja dan "stage". Terima kasih kepada semua
yang membantu.

"tok jogho" untuk persembahan dikir barat,Azfar.

"awok-awok" untuk persembahan dikir barat. Tahniah semua walaupun hanya 
berlatih selama satu minggu sahaja.

slot yang paling dinanti-nantikan oleh semua yang hadir. Menu istimewa:-
~nasi lemak + kerang + paru + ayam goreng + satay kajang~

menjamu selera setelah penat bekerja dari petang. "INI BARULAH MCS".:)

seperti biasa,kegemaran semua. Bergambar kenang-kenangan. 

kehadiran ahli yang bukan Melayu memeriahkan lagi suasana. Sesi karaoke
diserikan dengan lagu-lagu Melayu yang popular seperti "Bukan Cinta Biasa".

wanita-wanita MCS

jejaka-jejaka MCS

Tamat sudah Malam Pertemuan MCS. Mungkin ada yang pelik dengan nama "event" kali ini, tetapi INI BARULAH MCS. Sebelum ini penggunaan nama "Gathering Night" kurang menggambarkan suasana kemelayuan, tetapi alhamdulillah kali ini kami berjaya menyelinap masuk Kebudayaan Melayu yang jarang ditonjolkan di INTI. Selain daripada penggunaan nama, pihak MCS turut membawa masuk kebudayaan Dikir Barat yang popular di negeri-negeri Timur Semenanjung Malaysia. Nantikan idea-idea bernas yang lain dari kami selepas ini.

Di kesempatan ini juga,kami pihak MCS ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam Malam Pertemuan MCS tidak kiralah yang membantu secara langsung ataupun tidak langsung. Jasa kalian amat kami hargai. Tepukan gemuruh buat Pengarah Program kali ini, Ahmad Azfar bin Zulkifli (yang berbaju hijau).

Kalau ada sumur di ladang,
boleh saya menumpang mandi;
kalau ada umur yang panjang,
boleh kita bertemu lagi.

Saturday, June 5, 2010

Kuiz Jumaat (Jun-Minggu Pertama)

Salam kesatuan

(soalan diberi oleh pakcik @ Ustaz Kamarudin)
Ayat 9
Apakah peristiwa bersejarah mengenai ayat tersebut?

kita ambil bermula daripada ayat 8.

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan belenggu yang memberkas kedua-dua belah tangan mereka ke batang leher masing-masing hingga dagu mereka menjadi terdongak keatas(8).Dan Kami jadikan juga penghadang untuk menghalang penglihatan mereka dari segenap penjuru sama ada di sebelah hadapan mahupun di sebelah belakang mereka. Oleh sebab itulah mereka tidak dapat melihat engkau(9).”

Peristiwa yang dimaksudkan adalah ketika Nabi s.a.w hendak berhijrah ke Madinah. Pemuda-pemuda Quraisy bertindak mengepung rumah baginda dan bercadang akan membunuh baginda sewaktu baginda keluar dari rumah ketika hampir waktu subuh. Bagaimanapun, sewaktu baginda keluar meninggalkan rumahnya, tiada seorang pun daripada mereka yang melihat baginda.
Makna yang tersirat di dalam dua ayat itu ialah Allah menyifatkan orang-orang musyrikin dan orang-orang kafir itu sebagai orang yang buta hidayah. Mereka diumpamakan seperti orang yang telah terbelenggu tengkoknya oleh rantai besi yang kukuh sehingga menyebabkan mereka sentiasa terdongak ke atas dan sentiasa terkurung di dalam tembok yang memagari mereka di segenap penjuru. Maksud belenggu dan tembok itu ialah kepentingan duniawi berupa pangkat, pengaruh, dan harta benda. Apabila seseorang itu dibelenggu oleh pengaruh kebendaan, mereka tidak lagi dapat melihat kebenaran dan sentiasa pula menentangnya dengan gaya bongkak dan sombong. Golongan ini amat sukar menerima nasihat dan seruan agama.

Ayat 10 dan 11
Mana ayat suci yang menerangkan jiwa kita dan mana yang menerangkan jiwa israel?

“Mereka (orang yang tidak mahu beriman) akan mengambil sikap yang serupa sama ada engkau menasihati mereka atau pun tidak. Yang pasti mereka tidak akan beriman (10).Sesungguhnya  nasihatmu akan hanya dituruti oleh orang yang mahu mengikut ajaran al-Quran dan juga oleh orang yang takutkan azab Tuhan Yang Maha Pengasih walaupun mereka tidak dapat melihat-Nya. Oleh itu berikanlah khabar gembira kepada mereka bahawa mereka akan memperoleh keampunan dan ganjaran yang besar kelak(11).”


Dalam ayat ke-10 dan ayat ke-11, Allah menyatakan bahawa dalam masyarakat manusia terdapat dua golongan, iaitu golongan yang tidak mahu beriman dan golongan yang mahu beriman. Golongan yang tidak mahu beriman tetap akan menolak segala seruan Islam dan mereka tetap menganggapnya sebagai seruan biasa yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Justeru itu mereka pasti akan menolak segala hujah yang disampaikan kepada mereka. Allah menyatakan bahawa manusia tidak mempunyai keupayaan untuk memujuk golongan ini supaya beriman. Bagi golongan yang mahu beriman pula, mereka cuba memahami isi kandungan wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada para rasul. Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. Dalam al-Quran diterangkan segala bentuk ganjaran yang akan diberi oleh Allah kepada orang yang beriman dan berbagai bentuk azab siksa yang akan dikenakan terhadap orang yang tidak mahu beriman. Mereka meneliti semua keterangan yang disebut Allah dalam kitab suci itu lalu berusaha untuk mendapatkan segala ganjaran baik di samping berusaha dengan gigih untuk menghindarkan diri daripada azab siksa Allah di akhirat walaupun mereka tidak pernah melihatnya dengan mata kasar segala bentuk siksaan itu di dunia ini.

Wallahu'alam

Friday, June 4, 2010

Malu

Kisah yang tercatat di dalam Al-Quran
Surah Al-Qasas ayat 23-25
“Dan ketika dia(Musa) sampai di sumber air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan(ternakan mereka berdua). Dia bertanya: Mengapa dengan kamu berdua(menahan ternakan)? Mereka menjawab: Kami tidak dapat memberi minum (ternakan kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.”
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.

“Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”.
Di dalam kisah pendek tiga ayat ini, tersembunyi ibrah yang sangat besar. Bukan hanya kisah pertemuan Musa dengan Anak Nabi Syu’aib yang kemudiannya mendidik kesabaran Musa. Bukan juga hanya kisah Musa yang baik hati membantu perempuan yang lemah. Bukan juga hanya kisah aturan Allah SWT yang cantik mengaturkan perjalanan Musa dalam rangka menjadikannya sebagai Nabi.
Tetapi di dalam tiga ayat ini, terdapat juga didikan untuk wanita.
Allah hendak menunjukkan bagaimana urusannya wanita dan lelaki, dengan menunjukkan sifat malu yang wujud dalam diri Anak-anak Syu’aib.
Wahai manusia, Allah sedang berbicara dengan anda berkenaan Sifat Malu.
Sifat malu yang sangat tinggi
Anak-anak Nabi Syu’aib tidak membenarkan diri mereka bercampuran dengan lelaki-lelaki lain walaupun mereka mempunyai kerja yang penting – memberikan minuman kepada ternakan mereka.
Mereka sanggup menahan ternakan mereka dan menanti walaupun keadaan itu sangat memberikan kekurangan kepada ternakan mereka nanti. Alasan lemah adalah alasan yang kedua. Alasan utama adalah kerana bergaulan, bercampuran dengan lelaki sememangnya menjatuhkan akhlak mereka.
Kita sendiri, kalau melihat perempuan tolak menolak dengan lelaki, berebut-rebut dengan lelaki, bersentuhan tangan, bergeselan badan, bagaimana agaknya persepsi kita?
Maka Anak-anak Syu’aib menanti. Biar lapang baru mereka pergi. Tidak melanggar adab pergaulan, dan tidak pula mengundag kecederaan.
Namun, melakukan sedemikian pastinya satu kekurangan untuk mereka. Kekurangan untuk binatang ternak mereka membesar dengan baik. Tetapi lihatlah Anak-anak Syu’aib, dunia dan akhirat yang mana mereka pilih?
Penjagaan diri mereka ini membuatkan mereka sangat mahal.
Tidak memanjangkan bicara 1(kondisi diajak bicara)
Musa yang berehat di bawah pokok berdekatan hanya memandang. Pelik di matanya melihat dua orang perempuan berdiri menunggu di tepi sumber air bersama ternakan mereka. Pastinya dua perempuan itu bukan menanti suami atau ayah mereka siap memberi minum pada ternakan kerana keduanya membawa ternakan masing-masing.
Atas dasar ambil berat, Musa bangun dan bertanya.
“Mengapa dengan kamu berdua?”
Dan lihatlah bagaimana cantiknya akhlak Anak-anak Syu’aib. Lihatlah bagaimana mereka menjawab dengan kata-kata yang pendek, tidak meleret-leret, malah menutup lubang untuk menyambung bicara lain.
Terus sahaja mereka menjawab: “Kami tidak dapat memberi minum (ternakan kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya”
Terus kepada point. – Kami tidak dapat memberi minum sehingga pengembala-pengembala itu mebawa balik binatang ternak masing-masing –
Menutup ruang untuk perbualan berpanjangan – dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya –
Lantas Musa tidak menyambung perbualan mahupun bertanya lagi. Malah dia juga sudah tiada alasan untuk bertanya kerana segalanya telah terjawab dengan jawapan ringkas itu. Kata-kata “dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya” itu telah menjawab soalan-soalan seperti: “Habis, mana ayah awak?”, “Abang awak tak ada ke?”, “Ish, kesiannya, kenapa ya macam tu?” dan lain-lain.
Sangat bersih peribadi Anak-anak Syu’aib dalam menjaga diri mereka. Tidak berminat memanjangkan bicara yang tiada kepentingannya. Dan lihatlah pula kepada Musa, sangat bersih peribadinya dengan tidak mencari atau memikirkan mana-mana peluang lain untuk berbual, tetapi tanpa banyak bicara terus membantu ketika itu juga.
Tidak memanjangkan bicara 2(kondisi pemula bicara)
Dan apabila Nabi Syu’aib melihat kedua anaknya pulang lebih awal dari biasa, dia kehairanan dan bertanya. Maka kedua anak itu menceritakan perihal lelaki yang berteduh di bawah pokok. Maka Nabi Syu’aib mengarah salah seorang anaknya pergi memanggil.
Lihatlah bagaimana anak itu, walau berseorangan, tidak lagi ditemani ahli keluarganya, tidak pula mengambil peluang bermanja-manja atau berkenalan dengan lelaki yang berjasa itu.
Malah dia berjalan dengan tersipu-sipu, berjalan atas sifat malu, dan terus berkata menyampaikan hajatnya:
“Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”
Tidak pula dia meleret-leret atau berpusing-pusing dahulu dengan sembang-sembang lain, tanya-tanya lain seperti:
“Eh awak, terima kasih lah tadi ya. Awak baik sangat. Walaupun kita tak kenal… bla bla bla”
“Awak siapa nama ya? Terima kasihlah tadi ya. Ah, ni ayah saya panggil. Dia kagum dengan awak. Yalah, siapa yang nak tolong perempuan masa ni… bla bla bla”
Tetapi Anak Syu’aib itu terus pada pointnya tanpa memanjangkan bicara – Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami – Habis cerita dan tiada lagi alasan untuk menyambung sembang baik dari Pihak Musa, mahupun pihaknya.
Dia melaksanakan amanah bapanya tanpa mengambil celahan pada amanah itu.
Bersihnya peribadi Anak Syu’aib. Sifat malunya sangat tinggi. Sangat menjaga budi pekerti. Tiada langsung apa yang dikatakan ‘gedik’ oleh manusia hari ini. Langsung tidak mengambil peluang berduaan dengan jejaka berjasa yang hebat itu. Dan lihatlah Musa. Bersihnya peribadi Musa, tidak pula mengambil peluang berduaan itu dengan memanjang-manjangkan sembang, mencari peluang berkenalan dan sebagainya.
Diambil daripada blog Hilal Asyraf, entri 13 April 2010.

Wednesday, May 26, 2010

Ringkasan Halaqah:Wudhu'

Alhamdulillah, Allahumma sholli 'ala Muhammad,wa'ala Ali-Muhammad, hari Khamis lepas, sebuah majlis ilmu HALAQAH dapat diteruskan lagi dengan jayanya.Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pak Cik Kamaruddin kerana maish lagi meneruskan usaha beliau untuk menyampaikan mutiara-mutiara ilmu kepada kita.

Permulaan kelas dimulakan dengan siwak  yang sangat-sangat digalakkan sebelum wudhu' sehinggakan Nabi SAW menganggap siwak itu akan diwajibkan kerana kerapnya Allah SWT menyuruh baginda berwudhu'.

Mengupas tajuk wudhu',yang merupakan kunci kepada solah sepertimana niat itu menjadi kunci kepada ibadah, saya ingin datangkan makna literal yang terselindung di sebalik perkataan wudhu' itu sendiri. Wudhu merupakan kata terbitan (masdar) daripada perkataan wa-dha-a yang bermakna bercahaya, wadha-a berbeza dengan nur yang mana nur merupakan cahaya yang terbit dari sesuatu seperti pantulan atau biasan, manakala wadha-a ialah sinaran yang datang dari sumbernya yang tersendiri.

Sungguh, Allah itu maha Bijaksana, dan beruntunglah para hamba-Nya yang menemui hikmah dalam setiap suruhan dan tuntutan Allah SWT. Wudhu' lebih daripada sekadar mengharuskan solah kerana setiap basuhan itu mengandungi falsafahnya yang tersendiri dan mampu membawa diri kita lebih dekat dengan Allah.

Dalam Kitab Bidayatul Hidayah oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, beliau telah menyenaraikan doa-doa yang harus dibaca setiap kali anggota wudhu' itu dibaca. Dan intipati setiap doa itu ialah supaya setiap anggota itu tidak mendatangkan masalah kepada kita kelak di Padang Mahsyar.

Pak cik Kamaruddin juga menceritakan mengenai seorang sahabat nabi SAW yang tatkala mengambil wudhu' menggeletar tubuh badannya. Apabila ditanya kepada sahabat RA itu, beliau menjawab, aku gerun kerana bakal menghadap Raja kepada segala raja. Sehubungan dengan itu Pak Cik menegaskan, khusyu' dalam solat juga boleh dicetus sejak dari proses wudhu' lagi dan bersiwak.

Wudhu' yang sempurna boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Dan setiap titis air wudhu' itu bakal memberikan cahaya kepada kita kelak di Padang Mahsyar.

Kesimpulannya, wudhu' lebih dari sekadar membasuh anggota wajib untuk mengharuskan solat. Ia adalah satu rahmat Allah kepada kita umat Islam , yang mana jika diteliti dan difahami falsafah di sebalik kefardhuannya nescaya setiap individu umat Islam itu mampu menjadi lebih dekat kepada Allah.

Wudhu' juga mampu dimanifestasikan dengan malu terhadap Allah. Bagaimana? Ayuh datang ke sesi Halaqah minggu ini, 27 Mei 2010 untuk kupasan yang lebih mendalam daripada Pak Cik. =)

Tuesday, May 25, 2010

~minggu pendaftaran~







daun selasih permainan kera
dibiar bersepah di pohon ara
salam kasih salam mesra
awal bismillah pembuka bicara



bunga kemboja cantik memikat
indah mekar di dasar hati
dagang hamba membawa hajat
ayuh mendaftar menjadi ahli



mudik ke Tioman menaiki kapal
ingin merasa indahnya panorama
yuran berpatutan tiadalah mahal
ringgit malaysia tiga cuma



ikan haruan ikan toman
wujud muafakat di dalam kuali
mari taulan mari teman
tingkatkan martabat melayu di INTI



p/s: buat semua sahabat-sahabat, mari berkunjung ke "booth" kami untuk mendaftarkan diri sebagai ahli MCS di samping membeli juadah-juadah yang ada.

Tuesday, May 18, 2010

berlari sambil beramal

Assalamualaikum w.b.t....

Firman Allah " Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu berlaku adil, berbuat ihsan dan memberi sedekah kepada kaum kerabat." (an-Nahl:90)

Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi S.A.W. bersabda: "Berbuat ihsan pada setiap roh yang masih hidup terdapat ganjarannya." (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam surah An-Nahl ayat 90 di atas, kita telah diperintahkan oleh Allah untuk bersedekah, dan berbuat ihsan. Dalam hadis di atas pula, Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa ganjaran akan diberi andai manusia bersedekah dan berbuat ihsan.

Apakah ganjarannya??
  1. "barangsiapa berbuat kebaikan mendapat balasan sepuluh kali lipat amalnya" (surah Al-An'am:160)
  2. "barangsiapa mengerjakan kebajikan, baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan" (surah An-Nahl:97)
  3. "Adapun orang yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertaqwa dan menbenarkan (adanya pahala) yang terbaik (syurga), maka Kami akan mudahkan baginya jalan menuju kemudahan (kebahagiaan)" (surah Al-Lail:5-7)
  4. "perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Maha luas, Maha Mengetahui". (surah Al-Baqarah:261)

ayuh sahabat-sahabat sekalian, kita rebut peluang ini dengan bersedekah dan berbuat ihsan.. Peluang sudah ada di depan mata.. "INTI-UC OPEN 14KM : RUNNING HOPES INTO REALITY". Acara ini merupakan acara larian amal sejauh 14KM dan diadakan dengan kerjasama Malay Cultural Society (MCS), American University Program (AUP) Club, and Student Action (STACT) Club. 

Objektif utama acara ini adalah untuk memberi sumbangan kepada "National Cancer Society Malaysia" dan "Malaysian Systemic Lupus Erythematosus (SLE) Association". Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai SLE, anda boleh dapatkan maklumat di booth kami di SAO Concourse. Untuk pengetahuan sahabat-sahabat juga, kami ada membuka meja pendaftaran bagi sesiapa yang berminat, menyediakan tabung derma dan membuat jualan ringan di booth yang sama. Jadi, mari buka langkah anda dan hadir ke booth kami untuk sama-sama memberi sokongan kepada kami. 


berikut adalah sedikit info berkaitan "INTI-UC OPEN 14KM":


Venue: INTI-UC, Nilai
Date: 6 Jun 2010
Time: 7.00 a.m
Bayaran: RM 15 untuk kategori A, B dan E
RM 10 untuk kategori C dan D
Tarikh tutup pendaftaran: 21 May 2010

*walaupun tarikh tutup pendaftaran adalah 21 May 2010, anda masih dibenarkan untuk mendaftar pada 6 Jun 2010. Walaubagaimanapun, hanya sesiapa yang mendaftar sebelum/pada 21 May 2010 sahaja yang akan mendapat T-shirt percuma. Sijil peringkat negeri akan diberikan kepada semua peserta.

KATEGORI A = lelaki (18 tahun ke atas), larian 14km
KATEGORI B = perempuan (18 tahun ke atas), larian 14km
KATEGORI C = lelaki (18 tahun ke bawah), larian 8km
KATEGORI D = perempuan (18 tahun ke bawah), larian 8km
KATEGORI E = semua peringkat umur, larian 8km

hadiah adalah lumayan... untuk maklumat tambahan berkaitan hadiah dan peta larian, boleh datang ke booth kami atau layari blog INTI-UC OPEN 14KM.
Anda juga boleh menjemput kenalan-kenalan mahupun ahli keluarga untuk menyertainya. 


mari kita berlari sambil memberi sumbangan.. semoga usaha sahabat-sahabat untuk berlari dan memberi sumbangan ini mendapat keredaan Allah dan diberi ganjaran.


p/s: berkhidmat untuk masyarakat  =)





 

©2009 INTI I.U. MCS | by TNB