semoga kita memperoleh manfaat daripada setiap kata-kata yang keluar dari bibir kita

Friday, July 24, 2009

Malam Halaqah 23 Julai 2009 : Bulan Syaaban


Salam kesatuan.

Bulan Syaaban sudah tiba meninggalkan bulan Rejab, Ramadan pula bakal menjelang selepas ini. Sempena kedatangan bulan Syaaban, Ustaz Kamarudin membincangkan tentang keistimewaan bulan Syaaban, serta peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah pada bulan Syaaban.

Bulan Syaaban adalah bulan yang istimewa yang mana disunatkan berpuasa pada bulan ini. Diceritakan bahawa Rasulullah paling banyak berpuasa pada bulan ini selepas bulan Ramadan.

Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Saidatina Aisyah Radhiallahuanha, dia telah berkata yang bermaksud: “Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa Baginda berpuasa berterusan dan Baginda sering berbuka sehingga kami menyangka bahawa Rasulullah akan berbuka seterusnya. Aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan dan aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak dari puasanya di bulan Syaaban.”

Allah juga akan menerima taubat orang yang berpuasa pada dua bulan berturut-turut iaitu pada bulan Syaaban dan Ramadan. Syaaban bermaksud ranting, dan sesiapa yang membuat kebajikan pada bulan ini akan berpaut pada ranting-ranting pepohonan syurga yang berjuntai ke bumi pada bulan Syaaban.

“Tahukah kamu sekelian, mengapa dinamakan bulan Syaaban? Maka umatnya menjawab: Hanya Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui.”

Baginda meneruskan sabdanya: “Kerana di dalam bulan itu berkembanglah kebaikan yang banyak sekali.” (Dipetik dari kitab Raudatul Ulama).


Terdapat beberapa peristiwa penting yang berlaku pada bulan Syaaban antaranya adalah kepulangan puteri Rasulullah SAW, Umi Kalthum ke rahmatullah. Satu peristiwa yang besar berlaku pada bulan ini ialah peperangan Tabuk antara tentera Islam melawan tentera Rom.

Ustaz Kamarudin membincangakan tentang tiga golongan yang disebut Allah dalam surah At-Taubah sewaktu peperangan Tabuk ini.

Golongan pertama adalah golongan yang mencari alasan untuk tidak turut sama dalam peperangan. Ayat 49 surah At-Taubah ini menunjukkan kutukan Allah bagi Jadd bin Qais yang memberi alasan untuk tidak berperang, golongan


Dan di antara mereka (yang munafik itu) ada yang berkata: “Izinkanlah aku (supaya tidak pergi berperang) dan janganlah engkau menjadikan daku dipengaruhi oleh fitnah “. Ketahuilah, mereka telah pun tercebur ke dalam fitnah (dengan dalihan yang dusta itu). Dan sesungguhnya azab Jahannam meliputi orang-orang yang kafir. [9:49]


Golongan seterusnya adalah golongan munafik yang tidak mahu berperang. Orang-orang munafik telah berkumpul di rumah Suwailam, seorang yahudi bagi menyusun strategi psy-war mereka kepada tentera Islam.


Orang-orang (munafik) yang ditinggalkan (tidak turut berperang) itu, bersukacita disebabkan mereka tinggal di belakang Rasulullah (di Madinah); dan mereka (sememangnya) tidak suka berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah (dengan sebab kufurnya), dan mereka pula (menghasut dengan) berkata: “Janganlah kamu keluar beramai-ramai (untuk berperang) pada musim panas ini”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Api neraka Jahannam lebih panas membakar”, kalaulah mereka itu orang-orang yang memahami.[9:81]


Golongan terakhir adalah golongan yang sungguh berkeinginan untuk turut serta dalam perang tetapi tidak mampu kerana masalah seperti masalah kenderaan.


Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu”, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatupun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah). [9:92]


Perang Tabuk berlaku sewaktu musim panas, lantas perang tabuk digelar sebagai perang kesengsaraan dan tentera mereka digelar tentera sengsara. Walaubagaimanapun sengsara mereka sewaktu peperangan, kebahagiaan yang telah Allah janjikan menanti mereka di akhirat.

Semoga bertemu lagi pada malam halaqah minggu hadapan. InsyaAllah.

1 comments:

Tini Gishamsuddin said...

Alhamdulillah..at least ak dpt sesuatu di malam itu.. truskan usahamu mcs!

 

©2009 INTI I.U. MCS | by TNB