semoga kita memperoleh manfaat daripada setiap kata-kata yang keluar dari bibir kita

Thursday, October 21, 2010

Hajat - kepada ALLAH, kita meminta

Assalamualaikum w.b.t.


Tarikh: 21 Oktober 2010
Masa: 7:30 - 9:30 malam
Tempat: Surau INTI


Merujuk pada masa dan tempat di atas, satu program Solat Hajat akan diadakan pada malam ini di surau INTI. Semua pelajar dijemput hadir bagi sama-sama memohon kehadrat Allah agar apa yang kita hajati diperkenankan oleh NYA.

Solat hajat ini juga diadakan bagi mendoakan sahabat-sahabat SAM (South Australian Matriculation), yang akan berhadapan dengan peperiksaan akhir tidak lama lagi. Sama-sama kita mendoakan agar mereka diberi kemudahan oleh Allah S.W.T untuk menjawab soalan dan beroleh kejayaan.

Tidak lupa buat sahabat-sahabat AUP, yang akan menghadapi peperiksaan akhir semester penghujung november nanti.

Juga sahabat-sahabat dari program-program lain (A-level, degree, diploma, dan etc..)

kehadiran SEMUA pelajar (lelaki dan perempuan) amatlah dialu-alukan. Jangan malu dan jangan segan untuk hadir.

~USAHA TANPA DOA DAN TAWAKAL IBARAT MENANAM BENIH TANPA DISIRAMI AIR~

p/s: makanan disediakan.

tentatif:
7:30 - bacaan yasin
8:00 - solat hajat
8:30 - jamuan ringan
9:00 - solat isya'

*do spread the news*



Semoga Allah memberkatimu

Tuesday, September 21, 2010

Zapin 2010: Sebuah Kelangsungan Budaya

Salam Kesatuan,


Malay Cultural Society (MCS) ingin menjemput rakan-rakan semua untuk menyertai usaha melangsungkan satu lagi budaya melayu.Ini adalah projek kedua selepas dikir barat yang dipersembahkan pada malam pertemuan MCS yang lalu.InsyaAllah,debut pertama kumpulan zapin MCS ini akan dilakukan pada malam pertemuan raya MCS.

Butir-butir latihan adalah seperti berikut
Setiap hari mulai hari Selasa (21/9/2010)
Waktu : 10 malam-12 malam
Tempat : SAO Concourse


Sesiapa yang berminat untuk menyertai bolehlah berurusan di sini. :)


Terima Kasih.

Tuesday, September 14, 2010

Senyuman Rasulullah (3)

Rasulullah Tersenyum Pada Hari Terakhir

Rasulullah saw tersenyum ketika melihat Abu Bakar mengimamkan solat berjemaah saat baginda sakit sepertimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik.

Peristiwa itu terjadi pada hari Isnin, iaitu hari wafatnya baginda. Ketika itu baginda keluar dan memandang orang ramai yang sedang menunaikan solat Subuh. Baginda mengangkat tangan bertakbir, membuka pintu kemudian berdiri di pintu rumah Aisyah.

Kaum Muslimin yang sedang mengerjakan solat itu hampir saja terganggu apabila menyaksikan baginda sebagai luapan perasaan mereka. Lalu Rasulullah memberi isyarat kepada mereka agar mereka meneruskan solat. Melihat sikap mereka seperti itu ketika dalam mengerjakan solat Rasulullah hanya tersenyum: "Aku belum pernah melihat sikap orang yang solat sangat rapi dan sangat baik seperti ketika ini."

Setelah selesai solat, kaum Muslimin pulang ke rumah masing-masing. Mereka menyangka bahawa baginda telah sembuh dari sakitnya. Begitu juga dengan Abu Bakar yang menjadi imam menggantikan baginda. Abu Bakar kemudian pulang ke ruman yang letaknya tidak begitu jau dari Madinah.

Tidak lama kemudian, sampailah berita duka yang sangat mengejutkan kaum Muslimin iaitu wafatnya Rasulullah saw.


Di kesempatan ini, saya bagi pihak MCS ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Belum terlambat lagi kan :). Buat yang beraya di perantauan, jadikan ia satu pengalaman yang bermakna dalam hidup kalian. Semoga tabah. :)

Sunday, September 5, 2010

Bulan Ramadhan:Antara Keseronokan Berpuasa dan Puasa Seronok

      Bagi orang mukmin,dia sentiasa berharap,berazam,bercita-cita dan berusaha agar hari ini akan lebih baik berbanding  dari semalam  dan esok akan lebih baik berbanding hari ini.Maka seluruh aspek kehidupan sentiasa ada peningkatan,terutama dalam soal-soal ibadah khusus. Kerana ibadah khusus seperti sembahyang,puasa,wirid,zikir,doa dan lain-lain berperanan mendekatkan diri dengan Allah.
      Orang mukmin yang hidupnya sentiasa melaksanakan perintah Allah SWT,sangat mengharapkan bantuan,bimbingan  dan pmpinan Allah SWT.yakni,amat penting dalam membuat kerja-kerja yang diperintahkan oleh Allah disertai  oleh bentuan Allah.Bantuan Allah berkait rapat dengan kedudukan hamba di sisi Allah.Tidak akan berjaya,tiada nilai di sisi Allah bagi mereka yang melupakanNya.Allah tidak pandang,tidak tolong ,tidak Bantu orang yang jauh dari Allah,lalai ,leka dan lebih-lebih lagi kalau derhaka kepadaNya.
      Untuk terus mendapat pimpinan dan pembelaan dari Allah,maka perlu hati sentiasa merintih,mengharap,memohon dan bergantung kepada Allah.Perlu selalu muhasabah diri,mengkoreksi diri,membaiki diri dan memperbetulkan kesalahan diri.Ibadah pula,terutamanya sembahyang,bukan sahaja diperhalusi dari segi zahirnya bahkan dari sudut batinnya.Perlu hadirkan hati dengan rasa takut,bimbang,rindu,cinta,harap,gementar,hina diri,rasa dilihat,rasa didengar,rasa dikuasai dengan penuh penumpuan dalam sembahyang. Satu waktu yang luput amat rugi andainya sembahyang itu sekadar gerakan fizikal dan kosong dari segi batiniahnya.sembahyang umpama itu tidak membakar dan menghancurkan sifat-sifat keji.Mungkin sekadar sah dan memperolehi pahala.
     Tidak terkecuali juga dengan ibadah puasa Ramadhan yang hanya datang setahun sekali.Andainya luput puasa sebulan Ramadhan itu tanpa sebarang natijah, adalah  amat merugikan dan terpaksa menunggu pula kedatangan Ramadha tahun hadapan.Itupun sekiranya direzekikan oleh Allah lanjutan usia hingga  bertemu  Ramadhan akan datang.
     Oleh itu perlu sangat kita umat Islam bersikap serius terhadap bulan istimewa ini.Dan keistimewaan bulan Ramadhan ini bukan pada makan minum dan hari raya.Tetapi ia bersifat maknawiyah.Sebab itu disebut bulan penuh barakah(berkat).Bulan berkat  ini tiada langsung kaitannya dengan keistimewaan yang bersifat lahiriah atau fizikal.
    Marilah kita sama-sama menghayati Ramadhan agar ianya benar-benar menepati kehendak Allah dan RasulNya  dan terhindar dari kehendak nafsu dan Syaitan.

KESERONOKAN BERPUASA

1.  Pahala berganda


    Ramadhan ini bolehlah diibaratkan bulan menerima bonus tahunan yang berupa duit, semua orang menguntum senyum lebar sebagai tanda kegembiraan.Bagi para mukmin pahala berganda adalah rahmat Allah yang tidak terhingga.Setiap kebajikan, para mukmin mendapat bonus pahala yang bakal meninggikan darjat di Akhirat nanti.Gandaan pahala itu menjadi dorongan untuk melebihkan amal.Berebutlah para mukmin memburu bonus pahala selama sebulan ini.Andainya satu pahala dibalasi oleh Allah dengan sekuntum bunga syurga maka nilainya lebih tinggi berbanding dunia dan segala isinya.

 2.   Allah Subhanahuwata’ala buka pintu Syurga

       Ini sebagai tanda bahawa Allah membentangkan rahmatNya dengan luas di bulan Ramadhan agar hambaNya lebih seronok membanyakkan amalan dan mendekatkan diri kepada Allah.

3.    Ditutup pintu Neraka

      Malah sepanjang bulan Ramadhan siksa kubur juga turut direhatkan. Para mukmin tentulah mengharapkan keampunan Allah.Penutupan pintu neraka sebagai isyarat bahawa Allah mengampuni dosa para hambaNya yang memohon di  bulan Ramadhan

4.   Syaitan dibelenggu

     Bagi memudahkan para mukmin memperoleh kesempurnaan puasa dan beribadat, maka dibebaskan mereka dari gangguan syaitan. Tentulah lebih ringan beribadah dalam keadaan hanya sekadar berhadapan dengan dorongan nafsu sahaja. Ertinya dua musuh utama sudah dikurangkan kepada satu sahaja. Tentu lebih mudah bertarung dengan satu musuh berbanding dengan dua.


5.   Pengisian rohani

     Walaupun sekadar muakkad, tarawih bermaksud untuk mengisi ruang rohani.Dalam keadaan fizikal yang sedikit lema, nafsu sedikit dikekang dan didera, maka serentak dengan itu ada pula program pengisian rohani.Kekuatan rohani (dalaman) amat penting dalam memikul beban dan tanggungjawab sebagai mukmin. Inilah faktor penentu sama ada seseorang itu mampu memikul perintah Allah dan meninggalkan larangan.Apabila rohani kosong atau lemah, ibadah yang lain pun turut cuai, syariat longgar, disiplin hidup pun tiada, akhlak pula hancur musnah.Maka banyaklah berlaku berbagai angkara negative dalam kehidupan.Hilang kebahagiaan dan keharmonian hidup.

6. Kesihatan jasmani dan rohani

    Ramai pakar kesihatan bersetuju iaitu makanan berperanan besar dalam menentukan kesihatan manusia.Manakala makan yang berlebihan  pula adalah punca berbagai penyakit.Setiap agama juga ada anjuran untuk berpuasa bagi penganutnya.
   Secara tidak langsung Allah Taala memerintahkan hambaNya agar merehatkan perut mereka selama sebulan dalam setahun.Kerehatan itu mengembalikan fungsi sempurna perut yang telah bekerja sepenuh masa di bulan lain.Sebab itu tidak digalakkan mensendatkan perut di waktu malam walaupun telah kosong di waktu siang.Prinsip umat Islam dalam soal makan ialah “ makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang”,memberi natijah pengurangan penyakit di kalangan umat Islam.

7.    Penjimatan

      Waktu siang sudah tentu tiada perbelanjaan untuk makan minum yang menurut lazimnya  tiga kali sehari, ini sekiranya tidak di hitung makanan sampingan yang lain.Bulan Ramadhan juga kurang aktiviti berpeleseran dan seumpamanya.Waktu malam pula selain berbuka sedikit, makan malam serta bersahur, tentulah tiada tumpuan kepada makan kerana beribadah dan tidur.Sekiranya penghayatan sebegini berlaku tentulah dapat menjimatkan perbelanjaan serta tanpa berlebihan dan membazir.Dan elok pula kalau dialih perbelanjaan itu kepada sedekah dan kebajikan lain demi untuk mendapat pahala berganda.

 
8.   Kehalusan perasaan dan ketajaman akal
             
     Rasulullah dan para sahabat hingga kepada ahli sufi, mereka memilih makan sedikit, sekadar memperoleh tenaga untuk beribadah dan bekerja.Sedikit makan menjadikan perasaan bertambah halus, peka, atau sensitif. Dapat merasai kebesaran Allah serta mudah tersentuh hati terhadap dosa.Akal juga tajam dan dapat mengenal kebenaran. Ahli tafsir dan hadis sangat mementingkan kehalusan perasaan untuk dapat merasai roh wahyu dan hadis.Tajam pula akal hingga mudah memahami sesuatu maksud sama ada tersurat atau tersirat.Para pemimipin pula mudah dapat merasakan gelombang kehidupan masyarakat.Susah senang masyarakat mudah terkesan oleh hatinya.

   
9. Merasai kesusahan fakir miskin

    Orang yang sentiasa kenyang, lantas menyangka orang lain pun kenyang seperti dirinya.Dan tidak pernah merasai bagaimana peritnya penderitaan dan kelaparan golongan fakir miskin.Melalui puasa bulan Ramadhan, golongan kaya dan para pemimpin turut merasai bagaimana nasib fakir miskin yang sering kelaparan.Agar dengan itu datangnya rasa simpati golongan kaya dan pemimpin terhadap mereka yang dalam kesempitan hidup.

10. Fitrah

     Manifestasi dari simpati golongan kaya itu maka Allah mengajarkan pula tanggungjawab social dengan diwajibkan zakat fitrah.Fitrah itu selain mensucikan kecacatan berpuasa, ianya juga merupakan satu bentuk jalan penyelesaian bagi meringankan sedikit beban golongan kurang berada.Ini termasuk memberi kegembiraan kepada mereka ketika berhari raya.Selain itu Allah juga menganjurkan agar jurang perbezaan antara golongan-golongan ini tidak terlalu ketara.


PUASA SERONOK

1. Makan berganda

    Jualan berbagai juadah ada di mana-mana saja yang memang pula wujud di bulan Ramadhan saja.Juadah pula memang merangsang nafsu makan.Berbuka dan makan malam seolah-olah menebus kembali perut kosong sepanjang siang.Malah memilih juadah yang paling dipersetujui oleh selera.

2. Belanja berlebihan

    Kedapatan mereka yang sepanjang Ramadhan perbelanjaannya lebih banyak berbanding hari biasa.Selera waktu siang tanpa kawalan hingga memborong apa saja. Selepas berbuka sedikit, sudah terasa sendat kerana penguncupan perut.Akhirnya berlakulah pembaziran.Sepatutnya makan tidak lari dari kelaziman di bulan Ramadhan.

3. Kekenyangan

    Lantaran asyik membesarkan makan , sembahyang maghrib seringkali terlewat.Malah ada yang terus menghadap makanan hingga ke hujung waktu.Sembahyang terawih pula hilang rasa kehambaan sebaliknya rasa terpaksa,malas, terbeban ,letih dan mengantuk.

4. Hari raya

    Belum pun tiba bulan puasa,ada di antara gedung membeli belah sudah mempromosikan jualan Hari raya.Inilah satu tradisi yang sukar untuk dipecahkan.Dikalangan uamt Islam pula terlalu memberi tumpuan kepad sambutan Hari raya.Akibatnya hilang pengertiannya Hari raya yang sebenar.Kesibukan dengan pakaian baru, perabut baru ,langsir baru,pinggan mangkuk baru,bunga plastik baru ,cat rumah baru,kuih muih resepi baru menyebabkan hilang tumpuan membesarkan puasa dan mencapai kemenangan(perayaan)menewaskan kerakusan nafsu.Lebih merugikan kita hilang nikmat untuk merebut pahala ibadat berganda di sepuluh malam terakhir.
Orang yang seronok berpuasa, Ramadan ditunggu dengan kegembiraan dan sedih apabila tamat.Orang yang berpuasa seronok, tersiksa jiwanya kerana kedatangan Ramadhan dan merasa lega dan gembira apabila ianya tamat”

Maaf atas sebarang kekhilafan.

dipetik daripada:
 siri motivasi,permata minda

Friday, September 3, 2010

Senyuman Rasulullah (2)

Rasulullah Tersenyum Pada Suapan Terakhir


Terkadang Rasulullah saw tertawa geli melihat tingkahlaku sahabatnya yang berbuat sesuatu tanpa berdasarkan kepada ilmu, atau melakukannya mengikut kehendak sendiri sahaja. Meskipun perbuatan yang dilakukan itu bercanggah dengan syarak, Rasulullah tidak langsung memarahinya melainkan hanya menegurnya dengan bercanda.


Sikap ini pernah Rasulullah lakukan ketika mengingatkan seseorang yang makan tanpa membaca "Bismillahirrahmanirrahim" terlebih dahulu. Ketika itu Rasulullah sedang duduk dekat salah seorang sahabat yang sedang makan. Kerana itu Rasulullah tidak mendengar sahabat itu membaca basmallah saat akan memasukkan makanan. Namun ketika suapan terakhir, barulah sahabat itu membaca "Bismillah fi Awwali wa Akhirihi" (Dengan nama Allah di permulaan dan di penghujung).


Mendengar ucapan tersebut, Rasulullah hanya tersenyum, lalu berkata: "Tadi syaitan ikut makan bersama dia, tetapi setelah dia menyebut nama Allah, maka syaitan pun takut dan memuntahkan kembali makanan yang sudah masuk ke dalam perutnya."

Thursday, September 2, 2010

Senyuman Rasulullah (1)

Rasulullah Tersenyum Melihat Abu Bakar Dicaci Dan Dihina


Dengan kemuliaan dan kesempurnaan akhlak dan jiwanya, apabila Rasulullah dihina atau dicaci baginda tidak membalas sedikitpun, sama ada dengan perkataan mahupun tindakan. Baginda lebih memilih berdiam atau tersenyum kepada orang yang menyakitinya itu.


Oleh itu, ketika Rasulullah melihat Abu Bakar dicaci dan dihina oleh seorang lelaki dan tidak membalasnya, Rasulullah tersenyum melihatnya. Namun begitu, Abu Bakar pernah juga terpancing emosinya dan membalas caciannya, maka Rasulullah langsung pergi dari tempat tersebut.


Abu Hurairah meriwayatkan seperti berikut:


Suatu ketika, dengan tiba-tiba ada seorang lelaki datang memaki dan menghina Abu Bakar. Pada ketika itu Rasulullah sedang duduk tidak jauh dari tempat Abu Bakar. Baginda melihat dengan hairan dan tersenyum dengan sikap Abu Bakar yang tidak membalasnya. Kemudian apabila lelaki itu memaki di luar batas dan sangat menyakitkan, Abu Bakar terpancing untuk membalas dan menjawab seperlunya. Pada ketika itulah Rasulullah langsung pergi meninggalkan mereka. Maka apabila melihat Rasulullah pergi, Abu Bakar segera mengikutinya.


Abu Bakar berkata: "Ya Rasulullah, lelaki itu telah memakiku sedang engkau tetap sahaja duduk. Namun ketika aku membalas sebahagian perkataannya engkau langsung pergi."


Rasulullah menjelaskan kepada Abu Bakar: "Sebenarnya pada waktu itu sudah ada malaikat yang membalasnya. Apabila engkau membalas caciannya, maka syaitan pun hadir. Dengarlah wahai Abu Bakar, ada tiga perkara yang seluruhnya benar:


  1. "Tidak ada seorang hamba yang dianiaya, lalu ia memaafkan kerana Allah, melainkan Allah akan memuliakan dengan pertolonganNya"
  2. "Tidak ada seorang lelaki pun yang membuka pintu pemberian dengan maksud untuk memelihara hubungan, melainkan Allah akan menambah pemberian itu hingga berlipat ganda"
  3. "Tidak ada seorang lelaki yang meminta-minta dengan maksud memperbanyak harta, melainkan Allah akan menguranginya"
(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Abu Bakar dengan menjawab tidaklah bercanggah denga syarak, namun Rasulullah lebih suka melihat Abu Bakar bersikap diam dan tidak menjawab cacian orang itu. Kerana sikap seperti ini merupakan cerminan daripada keluhuran budi pekerti dan akhlak yang mulia.

Wallahualam.

(Dipetik daripada buku "Senyuman Rasulullah Menambat Hati Para Sahabat" keluaran Pustaka Ilmi)

Wednesday, August 25, 2010

Kelahiran Saidina Hassan ra. (15 Ramadhan)


Assalamualaikum,

Pada malam 15 Ramadhan lahir Saidina Hasan r.a dari rahim suci ibunya, Fatimah Zahra' rah pada tahun 3 Hijriah di dalam Masjid Nabawi. Beliau digelar Ketua Pemuda Syurga oleh Nabi s.a.w. Nabi s.a.w sendiri yang mengazan dan mengiqamatkan ke telinga kanan dan kiri Saidina Hasan r.a sebaik saja dilahirkan. Nabi s.a.w sendiri yang mencukur aqiqah rambut Saidina Hasan r.a dan menyembelih aqiqah sebagai tanda syukur. Kepada Saidina Hasan r.a sunnah cara menyambut kelahiran ini disyariatkan dan dilaksanakan buat pertama kalinya.

Saidina Hasan r.a berkata:
1) Ajarkan apa yang engkau tahu agar pengetahuanmu bertambah sempurna. Belajarlah daripada orang lain agar engkau tahu apa yang belum engkau ketahui.

2) Jarak antara iman dan yakin adalah sejauh 4 jari (sejauh telinga dan mata). Kita beriman apa yang kita dengar.Kita yakin apa yang kita lihat sendiri dengan mata kepala dan mata hati.

3) Kebodohan adalah kefakiran yang paling melarat.

(info ini darpada Pak Cik Kamaruddin)

Tuesday, August 24, 2010

genggamlah ketabahanmu seerat-eratnya

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberi rezeki kepadanya tanpa di sangka-sangka. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan kententuan bagi tiap-tiap sesuatu" (At-Thalaq:2-3)

Dalam dunia ni,pelbagai mehnah dan ujian yang boleh ditimpakan atas diri kita. Dan setiap ujian itu tidaklah diturunkan melebihi tahap penerimaan kita. Ya,tidak dapat dinafikan yang kadang kala kita merasakan ujian itu sangat berat dan tidak mampu dipikul. Namun,cuba kita jadikan Rasulullah sebagai role model kita. Cuba kita kenangkan beratnya ujian yang ditempuh Rasulullah berbanding dengan kita. Wajarkan untuk kita berputus asa dan mencari alternatif yang menyeleweng dari landasan agama kita? Sedangkan keretapi terkeluar dari landasan juga boleh terbabas. 

Lihatlah,Allah itu tidak zalim terhadap kita. "Di setiap kesusahan ada kemudahan". Ada jalan keluarnya. Malah Allah menjanjikan pulangan yang tidak pernah kita bayangkan. Dia lebih mengetahui berbanding diri kita yang kerdil di muka bumiNya ini. Dialah yang lebih berhak menentukan hala tuju kita. Sebijak mana pun diri kita,masih tidak mampu menandingi pengetahuanNya. Oleh itu,berpeganglah pada jalanNya. Tetapkanlah langkah kita menyelusuri jalan menujuNya walaupun jalan itu dipenuhi dengan onak duri. 

'Andai sekiranya seluruh dunia ingin membinasakanmu, jika Allah tidak mengizinkan nescaya engkau akan selamat, dan andai seluruh dunia ingin melindungimu, akan tetapi Allah menakdirkan kebinasaan untukmu maka tiada yang mampu mengubah takdir itu..’ (Mafhum hadis)

Bertali arus dugaan tiba
Menakung sebak airmata
Namun tak pernah pun setitis
Gugur berderai di pipi.

Tidak ditempah hidup sengsara
Suratan nasib yang melanda
Menongkah badai bergelora
Diredah bersendirian.

Bagaikan camar pulang senja
Patah sayapnya tetap terbang jua
Sekadar secicip rezeki
Buat yang sedang rindu menanti.

Segenggam tabah dipertahankan
Buat bekalan di perjalanan
Kau bebat luka yang berdarah
Kau balut hati yang calar.

Telah tertulis suratan nasibmu
Derita buatmu ada hikmahnya
Terlukis senyum di bibir lesu
Tak siapa tahu hatimu.

Biarpun keruh air di hulu
Mungkinkah jernih di muara
Biarpun jenuh hidup dipalu
Pasti bertemu tenangnya.

(Segenggam Tabah by In-Team)

Wednesday, August 18, 2010

kisah semut dan kerajaan semut

Ianya bermula dengan satu kematian dan dihadapkan ke hadapan Tuhan Semut.
“Apakah yang engkau telah lakukan didunia dahulu wahai Gadis Semut” tanya Malaikat Pendakwa di kamar Mahkamah Akhirat Tuhan Semut.
“Errr… saya melakukan zina sehingga melahirkan seekor anak semut yang comel” jawab Gadis Semut kembali. Matanya berlinangan air mata mengenangkan peristiwa itu. Kepalanya tertunduk dan tidak mampu diangkat untuk memandang wajah Malaikat Pendakwa tersebut.
“Tidakkah engkau tahu bahawa zina ini berdosa dilakukan? Tidakkan ibu-bapamu ada mengajar kepadamu tentang ilmu agama?” soal balas Malaikat Pendakwa yang mukanya teramat bengis.
“Saya tidak diajar langsung tentang ilmu agama, Tuan” jawab Gadis Semut.
“Panggil bicara kedua-dua orang tua Gadis Semut ini sekarang juga” bentak Malaikat Pendakwa kepada Malaikat Pembantu yang lain.
“Wahai ibubapa kepada Gadis Semut, tidakkah kamu tahu bahawa kamu wajib memberikan pendidikan agama kepada anak gadismu itu” tanya Malaikat Pendakwa dengan tegasnya.
“Kami lalai tuan, Kami sibuk dengan urusan pekerjaan kami sehari-hari. Walaupun begitu kami ada menghantar anak gadis kami ke sekolah. Sepatutnya Ustaz dan Ustazah disekolah mengajarnya ilmu agama” jawab ibubapa Gadis Semut tersebut.
“Panggil Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut sekarang juga” bentak Malaikat Pendakwa.
“Adakah kamu ada mengajar Gadis Semut ini tentang ilmu agama?” tanya Malaikat Pendakwa kepada Ustaz dan Ustazah sekolah Gadis Semut tersebut. “Kami ada mengajarnya mengenai imu agama namun ianya terbatas kepada waktu yang dibenarkan dalam sistem pendidikan negara. Dalam seminggu kami cuma dapat mengajarkan ilmu agama cuma 5 waktu sahaja. 5 waktu ini cuma 225 minit sahaja tuan” jawab Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.
“Siapakah yang menetapkan waktu-waktu ini” tanya Malaikat Pendakwa.
“Kementerian Pendidikan tuan, yang diketuai oleh Menteri Pendidikan.” dakwa Ustaz dan Ustazah sekolah tersebut.
“Panggil kekamar bicara Menteri Pendidikan” bentak Malaikat Pendakwa lalu ditanya pula.
“Adakah kamu yang memimpin Kementerian Pendidikan yang mentetapkan cuma 225 minit sahaja seminggu Pendidikan ilmu agama diajar kepada penuntut sekolah?”
“Ya tuan, memang saya yang memimpin Kementerian Pendidikan. Saya cuma menjalan tugasan saya seperti yang diarahkan oleh Kabinet, tuan” terketar-ketar Menteri Pendidikan tersebut menjawab soalan Malaikat Pendakwa tersebut.
“Siapa yang mengetuai Kabinet Kerajaan kamu itu” tegas soalan dari Malaikat Pendakwa.
“Perdana Menteri kami, tuan” lemah balasan Menteri Pendidikan yang kini tidak mampu mengangkat muka.
“Panggil ke kamar bicara Menteri Besar Kerajaan Semut ini sekarang juga” bentak Malaikat Pendakwa kepada pembantu-pembantuny a.
Lemah longlai Menteri Besar diheret ke kamar bicara oleh Malaikat Pembantu. Kakinya tampak lemah tidak dapat mengatur langkah. Wajahnya nampak pucat lesi.
“Benarkah kamu yang memimpin kabinet Kerajaan Semut ini.” tanya Malaikat Pendakwa dengan tegas kepada Menteri Besar.
“Ya tuan, Memang saya. Memang saya yang membuat semua keputusan yang diputuskan oleh kabinet. Malah memang saya yang mengarahkannya.” jawab Menteri Besar lemah.
“Jadi memang kamu mengaku bahawa kamu tahu apa akibatnya atas arahan dan keputusan yang kamu lakukan” tanya Malaikat Pendakwa.
“Ya memang saya tahu tuan, Namun saya melakukannya mengikut mandat yang diberikan kepada saya oleh rakyat negara saya yang memilih saya menjadi pemimpin mereka melalui satu pilihanraya. Apa yang saya lakukan adalah sekadar apa yang diharapkan oleh rakyat negara saya” lemah jawapan Menteri Besar tersebut.
“Baiklah, sekarang saya serahkan kepada Tuhan Semut untuk membuat keputusan perbicaraan ini” lontar Malaikat Pendakwa.
“Tuhanku, Menteri Besar ini mengaku bahawa atas mandat yang diberikan kepadanya oleh rakyat semut melalui pilihanraya, maka beliau mengarahkan kabinet negaranya yang seterusnya menetapkan bahawa Pendidikan ilmu agama cuma 225 minit sahaja seminggu yang mana diberitakan tidak mencukupi sehinggakan Gadis Semut ini telah melakukan satu dosa besar iaitu zina.” bentang Malaikat Pendakwa kepada Tuhan Semut dengan lengkap dan tertibnya.
“Barang siapa yang memilih (mengundi) Menteri Besar dan Kerajaan yang memerintah tersebut dalam pilihanraya hendaklah dimasukkan kedalam neraka keseluruhannya atas sebab dosa zina yang dilakukan oleh Gadis Semut tersebut. Ini termasuklah semua yang terlibat membiarkan Gadis Semut melakukan dosa zina” titah Tuhan Semut kepada Malaikat Pendakwa dan semua Malaikat seluruhnya.

Jika anda seorang yang berakal, tentunya anda dapat menangkap maksud petikan ringkas cerpen diatas. Semoga Allah tidak melaknat kita dan memasukkan kita keseluruhannya kedalam neraka atas sikap sambil lewa dan cuai kita dalam memilih pemimpin dan pimpinan negara. Walaupun ada satu dosa kecil yang dilakukan oleh mana-mana pihak, maka kita pun akan dimasukkan kedalam neraka jika kita membiarkan dosa ini dilakukan walaupun tanpa kita sedar. Undi kita walaupun hanya sekadar satu garisan diatas sekeping kertas akan menyebabkan kita dimasukkan kedalam syurga ataupun neraka. Ingat, apakah jawapan yang mampu kita berikan diakhirat kelak sewaktu dibicarakan dihadapan Allah, Tuhan Rabbul Jalil.

Ingat sumpah kita, janji kita, mission statement kita
"Aku berSaksi Tiada ilah yang disembah melainkan Allah. Aku berSaksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah"
Sediakanlah jawapan anda. Undilah dengan iman, amal dan akal. Jangan biarkan anda dipengaruhi dengan kebendaan dan keduniaan yang mana ianya tidak akan kekal. Sesuatu yang pasti dan Pasti dilalui adalah Kematian. Setiap patah perkataan yang kita tulis, setiap apa yang kita lakukan,tangan- tangan dan kaki-kaki kita akan menjadi saksi. Tanpa cuai walau sedetik pun waktu berlalu, ada yang menghisabnya.

Wallahualam.

Thursday, July 15, 2010

termostat vs. termometer

Assalamualaikum..

Apakah sudah terlewat untuk mencoret perkongsian ilmu yang diperoleh ketika menghadiri Talk Dr. Danial Zainal Abidin pada sabtu (10hb) lepas?? Tidak! Tiada unsur terlewat dalam penyampaian mahupun perkongsian ilmu kerana sifat ilmu itu sendiri tidak pernah dan tidak akan basi. Apatah lagi luput dan pupus."Better late than never" kan?

Termostat dan termometer..analogi yang cukup mudah untuk difahami. Terkait dengan sifat dan akhlak manusia dari dua zaman yang berbeza.. atau jika diperhalusi lagi perkataan manusia itu..ia sebenarnya merujuk kepada manusia yang menjadikan Allah sebagai tuhannya..islam itu sebagai ad-Dinnya...al-Quran sebagai kitabnya dan Muhammad S.A.W sebagai rasulnya.

sebelum analogi termostat dan termometer itu diperjelaskan tentang perkaitannya dengan umat islam, kenali dulu dua zaman ini. Pertama, zaman khulafa'. dan kedua, zaman sesudah kejatuhan khulafa'.

Zaman Rasulullah dan Khulafa'
bermula dengan penyebaran islam secara rahsia, diikuti dengan dakwah secara terbuka, islam kian berkembang dan berkembang. Penentangan demi penentangan dihadapi, namun usaha memperkenalkan manusia sejagat kepada islam tidak pernah padam, malah bertambah kuat. Hayati bagaimana rasulullah S.A.W menerima penghinaan dari musyrikin mekah, dibaling najis, keluarga baginda dipulau dan baginda di tawarkan wanita cantik, wang dan pangkat agar usaha menyebarkan islam dihentikan namun ditolak oleh baginda. Hayati bagaimana selepas kewafatan rasulullah, Saidina Abu Bakar mempertahankan kesucian islam dari masyarakat yang enggan membayar zakat dan nabi palsu. Selami bagaimana pada zaman Saidina Umar al-Khatab, empayar islam berjaya mengalahkan empayar rome dan parsi justeru merubah empayar islam daripada empayar yang lemah kepada empayar yang paling kuat. Perhalusi bagaimana islam mencapai "Golden Age" pada zaman Bani Abbasiyah dimana setiap segi dan sudut sistem pentadbirannya begitu stabil dan sistematik. Fahami bagaimana pada zaman Turki Uthmaniyah, Kota Constantinople berjaya di tawan oleh umat islam yang ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Mehmed al-Fatih. Daripada zaman Rasulullah hinggalah zaman Turki Uthmaniyah, islam terus berkembang dan digeruni pihak lain. Kejayaan tatkala itu dicapai satu persatu tanpa megah dan takbur.

Zaman selepas khulafa'
kekuatan dan kehebatan islam dicemburui. Umat islam mula dicucuk dengan hiburan. Pemerintahan islam semakin lemah. Keadaan bertambah buruk setelah Kamal Attartuk Laknatullah memegang tampuk pemerintahan kerajaan Islam. Hukum islam diperdagangkan. Aqidah islam dipermainkan. Ajaran islam dipertaruhkan. Islam bertambah mundur. Hedonisme, kapitalisma, dan sekularisma bermaharajalela. Hingga kini..islam kekal mundur dan ditindas. Zina, buang anak, jenayah, dan rasuah sering menjadi topik utama di dada-dada akhbar hingga masyarakat langsung menganggapnya perkara biasa. Tidak perlu berasa malu mahupun bimbang dengan hal sosial seperti ini memandangkan ia sudah menjadi 'darah daging' masyarakat kini. Apa sudah jadi? Di mana maruah islam? Di mana kedudukan al-Quran dan al-Sunnah ketika ini?


Sudah nampak beza antara dua zaman ini? Mari berbalik semula pada topik utama post ini, termostat dan termometer. Termostat dan termometer, dua-dua mengukur suhu. Tapi, termostat bukan setakat mengukur, malah boleh merubah dan mengawal suhu. Sedangkan termometer hanya digunakan untuk mengukur suhu sahaja. Apa kaitannya dengan dua zaman ini? umat islam pada zaman rasulullah dan khulafa' ibarat termostat. Mereka pelajari al-Quran dan sunnah...kemudian mereka fahami dan hayati isinya.. dan akhirnya mereka mengamalkan apa yang mereka fahami. Mereka berilmu dan mereka amalkan ilmu yang mereka miliki untuk mengubah kehidupan masyarakat daripada mundur kepada maju, daripada gelap kepada cerah dan daripada jahil kepada intelek.

Perhatikan kehidupan masyarakat jahiliyah, mereka hidup dalam keadaan jahil dan mundur. Tanam anak perempuan hidup-hidup, arak berleluasa, mempercayai perkara karut dan mengamalkan semangat asabiyah antara kaum. Kemudian islam datang menghapuskan semua amalan buruk masyarakat arab jahiliyah. Contoh paling jelas, kedatangan islam berjaya menghapuskan semangat asabiyah antara kaum dan mewujudkan semangat persaudaraan seperti yang dilakukan oleh muhajirin dan ansar. Kenapa? kerana mereka ingin merubah hidup mereka agar bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Dan perubahan itu mampu menjadikan kehidupan mereka bertambah baik.. seperti termostat, mereka ukur gaya hidup masyarakat jahiliyah dan mereka mengubah menjadi lebih baik.

Macam mana pula dengan termometer? kenapa dikaitkan dengan masyarakat islam selepas zaman khulafa'? atau lebih dekatnye, zaman sekarang? termometer hanya boleh mengukur suhu, tidak boleh mengubah suhu. Sama seperti masyarakat kini.. kita didedahkan dengan bermacam tabii buruk sesetengah masyarakat. Baik di media elektronik mahupun media cetak. Boleh jadi, tabii itu berlaku depan mata. Jelasnya, kita tahu...tabii itu bertentangan dengan apa yang kita pelajari daripada al-Quran dan al-Sunnah, tapi kita tidak bertindak untuk merubah tabii itu malah kita membiarkannya bermaharajalela kerana beranggapan itu adalah fenomena biasa di akhir zaman. Tuntasnya, kita adalah masyarakat termometer yang peka dengan hal sekeliling tetapi gagal untuk merubahnya menjadi lebih baik. Tidak seperti masyarakat termostat suatu masa dulu yang bukan sahaja peka dengan perihal sekililing, malah berusaha untuk mengubah hidup masyarakat dan tegar berjuang mengembangkan islam.

Jadi, apa peranan kita? adakah kita ingin terus menjadi masyarakat termometer atau ingin bangkit menjadi masyarakat termostat? Dalam post yang akan datang..insyaAllah...akan dibincangkan pula 7 FORMULA untuk menjadi termostat.
 
sekian dahulu...


akan bersambung...

Thursday, June 24, 2010

Malam Pertemuan MCS


Salam kesatuan.
Mohon maaf atas kelambatan meng"update" blog ini. Gambar menceritakan situasi. Oleh itu,tanpa menulis dengan panjang lebar, jom kita lihat gambar-gambar di bawah.

 bertungkus lumus mengatur kerusi,meja dan "stage". Terima kasih kepada semua
yang membantu.

"tok jogho" untuk persembahan dikir barat,Azfar.

"awok-awok" untuk persembahan dikir barat. Tahniah semua walaupun hanya 
berlatih selama satu minggu sahaja.

slot yang paling dinanti-nantikan oleh semua yang hadir. Menu istimewa:-
~nasi lemak + kerang + paru + ayam goreng + satay kajang~

menjamu selera setelah penat bekerja dari petang. "INI BARULAH MCS".:)

seperti biasa,kegemaran semua. Bergambar kenang-kenangan. 

kehadiran ahli yang bukan Melayu memeriahkan lagi suasana. Sesi karaoke
diserikan dengan lagu-lagu Melayu yang popular seperti "Bukan Cinta Biasa".

wanita-wanita MCS

jejaka-jejaka MCS

Tamat sudah Malam Pertemuan MCS. Mungkin ada yang pelik dengan nama "event" kali ini, tetapi INI BARULAH MCS. Sebelum ini penggunaan nama "Gathering Night" kurang menggambarkan suasana kemelayuan, tetapi alhamdulillah kali ini kami berjaya menyelinap masuk Kebudayaan Melayu yang jarang ditonjolkan di INTI. Selain daripada penggunaan nama, pihak MCS turut membawa masuk kebudayaan Dikir Barat yang popular di negeri-negeri Timur Semenanjung Malaysia. Nantikan idea-idea bernas yang lain dari kami selepas ini.

Di kesempatan ini juga,kami pihak MCS ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam Malam Pertemuan MCS tidak kiralah yang membantu secara langsung ataupun tidak langsung. Jasa kalian amat kami hargai. Tepukan gemuruh buat Pengarah Program kali ini, Ahmad Azfar bin Zulkifli (yang berbaju hijau).

Kalau ada sumur di ladang,
boleh saya menumpang mandi;
kalau ada umur yang panjang,
boleh kita bertemu lagi.

Saturday, June 5, 2010

Kuiz Jumaat (Jun-Minggu Pertama)

Salam kesatuan

(soalan diberi oleh pakcik @ Ustaz Kamarudin)
Ayat 9
Apakah peristiwa bersejarah mengenai ayat tersebut?

kita ambil bermula daripada ayat 8.

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan belenggu yang memberkas kedua-dua belah tangan mereka ke batang leher masing-masing hingga dagu mereka menjadi terdongak keatas(8).Dan Kami jadikan juga penghadang untuk menghalang penglihatan mereka dari segenap penjuru sama ada di sebelah hadapan mahupun di sebelah belakang mereka. Oleh sebab itulah mereka tidak dapat melihat engkau(9).”

Peristiwa yang dimaksudkan adalah ketika Nabi s.a.w hendak berhijrah ke Madinah. Pemuda-pemuda Quraisy bertindak mengepung rumah baginda dan bercadang akan membunuh baginda sewaktu baginda keluar dari rumah ketika hampir waktu subuh. Bagaimanapun, sewaktu baginda keluar meninggalkan rumahnya, tiada seorang pun daripada mereka yang melihat baginda.
Makna yang tersirat di dalam dua ayat itu ialah Allah menyifatkan orang-orang musyrikin dan orang-orang kafir itu sebagai orang yang buta hidayah. Mereka diumpamakan seperti orang yang telah terbelenggu tengkoknya oleh rantai besi yang kukuh sehingga menyebabkan mereka sentiasa terdongak ke atas dan sentiasa terkurung di dalam tembok yang memagari mereka di segenap penjuru. Maksud belenggu dan tembok itu ialah kepentingan duniawi berupa pangkat, pengaruh, dan harta benda. Apabila seseorang itu dibelenggu oleh pengaruh kebendaan, mereka tidak lagi dapat melihat kebenaran dan sentiasa pula menentangnya dengan gaya bongkak dan sombong. Golongan ini amat sukar menerima nasihat dan seruan agama.

Ayat 10 dan 11
Mana ayat suci yang menerangkan jiwa kita dan mana yang menerangkan jiwa israel?

“Mereka (orang yang tidak mahu beriman) akan mengambil sikap yang serupa sama ada engkau menasihati mereka atau pun tidak. Yang pasti mereka tidak akan beriman (10).Sesungguhnya  nasihatmu akan hanya dituruti oleh orang yang mahu mengikut ajaran al-Quran dan juga oleh orang yang takutkan azab Tuhan Yang Maha Pengasih walaupun mereka tidak dapat melihat-Nya. Oleh itu berikanlah khabar gembira kepada mereka bahawa mereka akan memperoleh keampunan dan ganjaran yang besar kelak(11).”


Dalam ayat ke-10 dan ayat ke-11, Allah menyatakan bahawa dalam masyarakat manusia terdapat dua golongan, iaitu golongan yang tidak mahu beriman dan golongan yang mahu beriman. Golongan yang tidak mahu beriman tetap akan menolak segala seruan Islam dan mereka tetap menganggapnya sebagai seruan biasa yang tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Justeru itu mereka pasti akan menolak segala hujah yang disampaikan kepada mereka. Allah menyatakan bahawa manusia tidak mempunyai keupayaan untuk memujuk golongan ini supaya beriman. Bagi golongan yang mahu beriman pula, mereka cuba memahami isi kandungan wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada para rasul. Allah menurunkan al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w. Dalam al-Quran diterangkan segala bentuk ganjaran yang akan diberi oleh Allah kepada orang yang beriman dan berbagai bentuk azab siksa yang akan dikenakan terhadap orang yang tidak mahu beriman. Mereka meneliti semua keterangan yang disebut Allah dalam kitab suci itu lalu berusaha untuk mendapatkan segala ganjaran baik di samping berusaha dengan gigih untuk menghindarkan diri daripada azab siksa Allah di akhirat walaupun mereka tidak pernah melihatnya dengan mata kasar segala bentuk siksaan itu di dunia ini.

Wallahu'alam

Friday, June 4, 2010

Malu

Kisah yang tercatat di dalam Al-Quran
Surah Al-Qasas ayat 23-25
“Dan ketika dia(Musa) sampai di sumber air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan(ternakan mereka berdua). Dia bertanya: Mengapa dengan kamu berdua(menahan ternakan)? Mereka menjawab: Kami tidak dapat memberi minum (ternakan kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya.”
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki pemberian yang Engkau berikan.

“Kemudian salah seorang dari perempuan dua beradik itu datang mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu sambil berkata:” Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”.
Di dalam kisah pendek tiga ayat ini, tersembunyi ibrah yang sangat besar. Bukan hanya kisah pertemuan Musa dengan Anak Nabi Syu’aib yang kemudiannya mendidik kesabaran Musa. Bukan juga hanya kisah Musa yang baik hati membantu perempuan yang lemah. Bukan juga hanya kisah aturan Allah SWT yang cantik mengaturkan perjalanan Musa dalam rangka menjadikannya sebagai Nabi.
Tetapi di dalam tiga ayat ini, terdapat juga didikan untuk wanita.
Allah hendak menunjukkan bagaimana urusannya wanita dan lelaki, dengan menunjukkan sifat malu yang wujud dalam diri Anak-anak Syu’aib.
Wahai manusia, Allah sedang berbicara dengan anda berkenaan Sifat Malu.
Sifat malu yang sangat tinggi
Anak-anak Nabi Syu’aib tidak membenarkan diri mereka bercampuran dengan lelaki-lelaki lain walaupun mereka mempunyai kerja yang penting – memberikan minuman kepada ternakan mereka.
Mereka sanggup menahan ternakan mereka dan menanti walaupun keadaan itu sangat memberikan kekurangan kepada ternakan mereka nanti. Alasan lemah adalah alasan yang kedua. Alasan utama adalah kerana bergaulan, bercampuran dengan lelaki sememangnya menjatuhkan akhlak mereka.
Kita sendiri, kalau melihat perempuan tolak menolak dengan lelaki, berebut-rebut dengan lelaki, bersentuhan tangan, bergeselan badan, bagaimana agaknya persepsi kita?
Maka Anak-anak Syu’aib menanti. Biar lapang baru mereka pergi. Tidak melanggar adab pergaulan, dan tidak pula mengundag kecederaan.
Namun, melakukan sedemikian pastinya satu kekurangan untuk mereka. Kekurangan untuk binatang ternak mereka membesar dengan baik. Tetapi lihatlah Anak-anak Syu’aib, dunia dan akhirat yang mana mereka pilih?
Penjagaan diri mereka ini membuatkan mereka sangat mahal.
Tidak memanjangkan bicara 1(kondisi diajak bicara)
Musa yang berehat di bawah pokok berdekatan hanya memandang. Pelik di matanya melihat dua orang perempuan berdiri menunggu di tepi sumber air bersama ternakan mereka. Pastinya dua perempuan itu bukan menanti suami atau ayah mereka siap memberi minum pada ternakan kerana keduanya membawa ternakan masing-masing.
Atas dasar ambil berat, Musa bangun dan bertanya.
“Mengapa dengan kamu berdua?”
Dan lihatlah bagaimana cantiknya akhlak Anak-anak Syu’aib. Lihatlah bagaimana mereka menjawab dengan kata-kata yang pendek, tidak meleret-leret, malah menutup lubang untuk menyambung bicara lain.
Terus sahaja mereka menjawab: “Kami tidak dapat memberi minum (ternakan kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya”
Terus kepada point. – Kami tidak dapat memberi minum sehingga pengembala-pengembala itu mebawa balik binatang ternak masing-masing –
Menutup ruang untuk perbualan berpanjangan – dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya –
Lantas Musa tidak menyambung perbualan mahupun bertanya lagi. Malah dia juga sudah tiada alasan untuk bertanya kerana segalanya telah terjawab dengan jawapan ringkas itu. Kata-kata “dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya” itu telah menjawab soalan-soalan seperti: “Habis, mana ayah awak?”, “Abang awak tak ada ke?”, “Ish, kesiannya, kenapa ya macam tu?” dan lain-lain.
Sangat bersih peribadi Anak-anak Syu’aib dalam menjaga diri mereka. Tidak berminat memanjangkan bicara yang tiada kepentingannya. Dan lihatlah pula kepada Musa, sangat bersih peribadinya dengan tidak mencari atau memikirkan mana-mana peluang lain untuk berbual, tetapi tanpa banyak bicara terus membantu ketika itu juga.
Tidak memanjangkan bicara 2(kondisi pemula bicara)
Dan apabila Nabi Syu’aib melihat kedua anaknya pulang lebih awal dari biasa, dia kehairanan dan bertanya. Maka kedua anak itu menceritakan perihal lelaki yang berteduh di bawah pokok. Maka Nabi Syu’aib mengarah salah seorang anaknya pergi memanggil.
Lihatlah bagaimana anak itu, walau berseorangan, tidak lagi ditemani ahli keluarganya, tidak pula mengambil peluang bermanja-manja atau berkenalan dengan lelaki yang berjasa itu.
Malah dia berjalan dengan tersipu-sipu, berjalan atas sifat malu, dan terus berkata menyampaikan hajatnya:
“Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami”
Tidak pula dia meleret-leret atau berpusing-pusing dahulu dengan sembang-sembang lain, tanya-tanya lain seperti:
“Eh awak, terima kasih lah tadi ya. Awak baik sangat. Walaupun kita tak kenal… bla bla bla”
“Awak siapa nama ya? Terima kasihlah tadi ya. Ah, ni ayah saya panggil. Dia kagum dengan awak. Yalah, siapa yang nak tolong perempuan masa ni… bla bla bla”
Tetapi Anak Syu’aib itu terus pada pointnya tanpa memanjangkan bicara – Sebenarnya bapaku menjemputmu untuk membalas budimu memberi minum binatang ternak kami – Habis cerita dan tiada lagi alasan untuk menyambung sembang baik dari Pihak Musa, mahupun pihaknya.
Dia melaksanakan amanah bapanya tanpa mengambil celahan pada amanah itu.
Bersihnya peribadi Anak Syu’aib. Sifat malunya sangat tinggi. Sangat menjaga budi pekerti. Tiada langsung apa yang dikatakan ‘gedik’ oleh manusia hari ini. Langsung tidak mengambil peluang berduaan dengan jejaka berjasa yang hebat itu. Dan lihatlah Musa. Bersihnya peribadi Musa, tidak pula mengambil peluang berduaan itu dengan memanjang-manjangkan sembang, mencari peluang berkenalan dan sebagainya.
Diambil daripada blog Hilal Asyraf, entri 13 April 2010.
 

©2009 INTI I.U. MCS | by TNB