semoga kita memperoleh manfaat daripada setiap kata-kata yang keluar dari bibir kita

Monday, April 26, 2010

Persiapan saat akhir

Ya, memang sangat lewat, memandangkan sudah ada pun subjek-subjek yang telah diduduki peperiksaannya.

Namun, itu tidak menjadi halangan, kerana perkongsian itu tidak terhad pada waktu tertentu.

Perkongsian paling terbaik untuk dicerna, dinilai dan diamalkan jika bertepatan pembawaannya.

InsyaAllah, entri kali ini tidak bercadang untuk berkongsi teknik-teknik pelajaran itu dan ini kerana penulis percaya setiap orang ada teknik yang tersendiri untuk dipraktiskan dan dilumati sebaik mungkin.

Kita akan membincangkan daripada aspek spiritual, bagaimana menangani peperiksaan.

Luruskan niat


Peperiksaan bukan sekadar gred atau markah, ia bertujuan menguji pemahaman, sejauh mana kita menguasai sesuatu subjek itu.
Baik ilmu agama , mahupun ilmu sains - kita percaya semuanya Ilmu Allah.
Yang paling utama hakikatnya, sebagai muslim perlu kita aplikasikan konsep ibadah, belajar dan menjawab peperiksaan kerana Allah. Hal ini kerana, jika kita tidak mampu untuk mencapai apa yang kita harapkan pun, ganjaran Allah sudah sedia menanti lantaran keikhlasan dan ketulusan hati kita ingin mencapai redha-Nya.

Bulatkan usaha.


Ya, usaha perlu disempurnakan, sesempurna bulatan yang disifatkan Leonardo da Vinci sebagai bentuk geometrikal yang paling sempurna. Dalam kesibukan kita berusaha dan menenggelamkan diri kita dalam larutan formula dan kolam latihan serta ombak pembacaan, jangan terlupa akan usaha yang tidak kurang pentingnya - doa dan doa dan doa yang menjadi mediator kepada hasil pencapaian kita.

Mulakan pagi anda dengan ar-Rahman, semoga rahmat Allah meliputi diri anda sepanjang peperiksaan.
Baca bismillah sebelum mula menjawab, dan berdoalah agar dipermudahkan urusan. Tidak perlu berbahasa arab jika tidak tahu, kerana Allah melihat isi hati, bukan lenggok bahasa (Namun, jika ada doa yang ma'thur-bersumberkan hadits atau ayat al-Quran - itu lebih utama)
Jika terlupa, bacalah solawat dan beristighfarlah. Sesungguhnya seperti mana pesan ulama' agung iaitu Waki' kepada anak muridnya Imam asy-Syafie yang dirakamkan dalam salah satu sya'ir imam asy-Syafie:

Aku mengadu kepada Waki' akan kekurangan hafazanku,
Waki' menunjuki untuk meninggalkan maksiat,
Kerana Ilmu itu cahaya
Dan cahaya tidak singgah di hati pelaku maksiat

yang terakhir, jangan putus asa. Cubalah untuk menjawab dengan teliti dan tenang, tidak terburu-buru dan jangan sesekali TERLEBIH YAKIN. Sifat itu hanya memakan diri dan meruntuhkan keyakinan jika keputusannya tidak seperti yang diharapkan.

TAWAKKAL

Ini ialah satu konsep yang amat penting. Setelah usaha kita lakukan sebaik mungkin, maka serahkan pada Allah untuk menentukan keputusannya. Ingat, jika niat di awal sudah kerana Allah, baik buruk keputusannya, tetap akan diberi ganjaran.

Peperiksaan bukan di dunia sahaja, di Padang Mahsyar ada yang lebih berat menanti. Maka, apakah yang lebih utama dari kemenangan abadi dengan beroleh kehidupan syurgawi?

Moga Allah berkati, moga Allah redha.

Bak kata Raju Rastogi dalam filem  3 Idiots - "Fear is not good for grade"

La tahzan, innAllah ma'na- Jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita

Aal Iz Well, insyaAllah =)

Friday, April 16, 2010

Terima Kasih

Salam Kesatuan.

Alhamdulillah program solat sunat hajat kita berjaya dilaksanakan dengan izin Allah swt. Jutaan terima kasih kepada semua sahabat yang dibukakan hati untuk mengimarahkan surau pada malam jumaat yang penuh dengan keberkatan. Semoga usaha kita dipandang Allah dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Kepada yang tidak berkesempatan, insyaAllah peluang itu masih belum tertutup. Mohonlah pada Allah bila-bila masa sahaja. Allah itu sentiasa berdampingan dengan kita. Allah itu Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati kita.

Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat leher"
Qaf (50) : 16

Oleh itu,ambillah peluang untuk memohon padaNya. Semoga maju jaya buat semua. Kejayaan itu tidak datang bergolek. Hanya yang berdoa, berusaha, berikhtiar dan bertawakal bakal memperoleh kejayaan dunia dan akhirat. InsyaAllah. Amin.

Selamat berjihad di medan peperiksaan. Sekian

Tuesday, April 13, 2010

Panduan Solat Sunat Hajat

Salam kesatuan..
Entri pada kali ini dipetik daripada sebuah blog..
(ribuan terima kasih kepada pemilik blog,saudara Wan Azizan B Zainal Abidin)

Bagi sesetengah orang yang bukan daripada latar belakang pendidikan agama, banyak perkara yang merunsingkan dan kadang-kadang mengelirukan apabila berdepan dengan permasalahan hukum atau panduan dalam mengerjakan sesuatu ibadah.

Contohnya dalam melaksanakan solat sunat hajat. Dari sekolah rendah ke sekolah menengah hinggalah sekarang, pelbagai versi solat hajat yang aku pelajari daripada mereka yang berpendidikan agama. Lebih-lebih lagi dalam bilangan bacaan, surah yang dibaca, sujud meminta hajat sebelum atau selepas salam.

Ustaz ini kata begini, ustazah itu kata begitu. Bagiku yang bukan dari 'mainstream' agama, satu pun aku katakan tidak betul. Siapalah aku untuk mengatakan ini betul atau itu salah. Silap-silap, Dr Asri memfatwakan aku sesat.

Cuma aku ingin berkongsi kaedah pelaksanaan solat sunat hajat seperti yang tertulis di dalam kitab
Al-Qirthaas, Syarah Raatib Qutub Al Anfaas Alhabib Umar Bin Abdurrahman Al-Attas yang ditulis oleh Al'Allaamah Alhabib Ali Bin Hasan Abdullah Bin Husen Bin Umar Al-Attas Baa'alawi Alhadhrami.

Menurut Asy Syaikh Abul Khair Alyamaani Asy Syarji yang telah mengutip dari Muhammad bin Darsituwiyyah, ia telah berkata:" Aku telah melihat pada Kitab Al Imam Asy Syafi'i (rahimahullah) yang ditulisnya sendiri tentang 'Solat Hajat' untuk 1000 (seribu) hajat atau keperluan, yang diajarkan oleh Nabi AlKhidhir kepada sebahagian hamba-hamba Allah iaitu melakukan solat 2 (dua) raka'at sebagai berikut:

Pada raka'at pertama: Membaca Al-Fatihah dan surah Al-Kafirun (10 kali)

Pada raka'at kedua: Membaca Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas (11 kali)

Kemudian sesudah salam, ia sujud kembali sambil membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW 10 kali disusuli dengan mengucapkan
"Subhaanallah Walhamdulillah Walaa Ilaha Illallah Wallahu Akbar Walaa Haula Wala Quwata Illa Billahil A'liyyil A'zim" sebanyak 10 kali. Kemudian disusuli dengan "Rabbana Aatina Fiddunya Hasanah Wafil Aakhirati Hasanah Waqina A'zabannar" sebanyak 10 kali juga. Kemudian mintalah hajat kepada Allah, Insya-Allah akan terkabul.

Alhakim berkata,
"Barang siapa yang melaksanakan solat sunat hajat, hendaklah ia mandi pada malam Jumaat dan memakai pakaian yang bersih dan solatlah di waktu sahur dengan niat mohon dipenuhi hajatnya".

Mudah-mudahan dengan adanya sedikit ilmu ini akan menambahkan pengetahuan kita untuk dikongsi bersama umat-umat Islam yang lain.

Wallahua'lam.

(Nota: Bacaan ayat Quran dalam bentuk tulisan rumi boleh mengandungi kesilapan. Bacaan yang terbaik adalah dalam bentuk tulisan Arab itu sendiri. Harap maaf sekiranya terdapat kesilapan pada tulisan rumi tersebut)

Semoga bermanfaat.

Monday, April 12, 2010

Jom Berpuasa Sunat

Salam kesatuan..

InsyaAllah, memandangkan musim peperiksaan semakin menghampiri kita, kali ini kami ingin memberi satu perkongsian..semoga bermanfaat..:)


Dari ‘Abdullah bin ‘Amru Radiallahu’anhu, katanya:

"Barangsiapa memiliki hajat kepada Allah, hendaklah dia berpuasa pada hari Rabu, Khamis, dan Jumaat. Apabila tiba hari Jumaat, hendaklah die menyucikan diri kemudian pergi ke masjid dan bersedekah.."


Pada solat Jumaat hendaklah berkata:

"Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dengan namaMu, dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, yang tidak ada Tuhan kecuali Dia Yang Maha Hidup dan Yang Mengurus segala keperluan makhlukNya memenuhi langit dan bumi. Baginya tertunduk semua wajah, merendah semua suara, dan gentar semua hati, kerana merasa takut kepadaNya. Maka limpahkanlah selawatMu kepada Muhammad [serta Ahlul Baitnya ] dan penuhilah keperluanku, iaitu (hajat kita).." maka akan dimakbulkan baginya, insya Allah..


Dikatakan juga:

"Janganlah kamu ajarkan doa itu kepada orang-orang jahat di antara kamu, agar mereka tidak berdoa untuk mencelakakan atau memutus silaturahim.."

Hadith riwayat Ath Thabrani, Ibn ‘Awanah, Ibn ‘Asakir


Dari Sa’id bin Musayyab, katanya :

"Tidak ada doa tanpa selawat untuk Nabi s.a.a.w, kecuali dia akan tergantung antara langit dan bumi.."


Dari ‘Umar Radhiallahu’anhu, katanya :

"Sesungguhnya doa itu terhenti di antara langit dan bumi, tidak naik darinya sesuatu, sampai diucapkan selawat untuk Nabi Sallallahu ‘alaihi wa alihi wasallam.."


Selamat beramal untuk semua..jangan lupa temu janji kita pada hari Khamis ini..datanglah beramai-ramai..:)

Saturday, April 10, 2010

solat sunat hajat

Salam kesatuan..

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT, program Solat Sunat Hajat secara besar besaran akan diadakan di Surau INTI..
  • 15 April 2010
  • 7.45 pm - 10.15 pm
InsyaAllah program akan dimulakan dengan bacaan Yasin dan air Yasin..namun lebih molek andai kita bersama-sama solat Maghrib berjemaah..agenda diteruskan dengan ceramah seperti biasa oleh pakcik..solat sunat hajat akan dilaksanakan selepas solat Isha' berjemaah..

Semua muslimin dan muslimat INTI dijemput hadir..ajak beramai-ramai ye..:)..bersama-sama kita mengimarahkan surau INTI..

Syukran..

Saturday, April 3, 2010

secangkir kopi, secawan teh

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNYA, kita masih dapat merasai nikmat iman dan islam. Bagaimanakah keadaan iman kita pada hari ini? meningkat?? atau berkurang?? tepuk dada, tanya selera.


Pada hari ini-03/04/10, satu perkongsian pengalaman daripada bekas-bekas pelajar Australia dan United States telah diadakan di Surau INTI hasil kerjasama Malay Cultural Society (MCS) dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA). Perkongsian ini, yang juga dinamakan "Gateway to US and Australia" telah dihadiri oleh sahabat-sahabat INTI yang akan menyambung pelajaran di kedua-dua buah negara tersebut. Alhamdulillah, sejuta rasa terima kasih dihulurkan buat semua sahabat yang sudi melapangkan masa dan tenaga untuk menghadiri program ini dan mencungkil pengalaman bekas-bekas pelajar tersebut. Sepuluh jari tersusun molek memohon kemaafan atas sebarang kekurangan dan kekhilafan yang wujud sepanjang program berlangsung. Tidak mahu berkata panjang, di bawah ini disertakan gambar-gambar yang sempat diambil.



masing-masing khusyuk mendengar cebisan pengalaman ahli panel


sebahagian pelajar muslimin dan muslimat yang hadir


barisan ahli panel @ bekas pelajar Australia dan US


tumpuan diberikan ketika video ditayangkan


bengkel- soal jawab. Pelajar dibahagikan mengikut kumpulan.

ikhwan - INTI dan ISMA


akhowat tekun mendengar bait-bait kata daripada ahli-ahli panel



Semoga program "Gateway to US and Australia" ini memberi manfaat buat semua sahabat-sahabat yang hadir. Akhir kalam, "jangan kerana dunia, akhirat tertinggal di belakang..dan jangan kerana akhirat, dunia diabaikan..biarlah seimbang antara keduanya"

Sekian, salam ukhuwah dan salam mahabbah




p/s: terima kasih buat semua tenaga kerja atas kerjasama yang telah diberikan sama ada yang secara langsung mahupun tidak. "Jika kita menolong agama Allah, Allah akan menolong kita (47:7)" syukran jazzak..

 

©2009 INTI I.U. MCS | by TNB