semoga kita memperoleh manfaat daripada setiap kata-kata yang keluar dari bibir kita

Monday, April 26, 2010

Persiapan saat akhir

Ya, memang sangat lewat, memandangkan sudah ada pun subjek-subjek yang telah diduduki peperiksaannya.

Namun, itu tidak menjadi halangan, kerana perkongsian itu tidak terhad pada waktu tertentu.

Perkongsian paling terbaik untuk dicerna, dinilai dan diamalkan jika bertepatan pembawaannya.

InsyaAllah, entri kali ini tidak bercadang untuk berkongsi teknik-teknik pelajaran itu dan ini kerana penulis percaya setiap orang ada teknik yang tersendiri untuk dipraktiskan dan dilumati sebaik mungkin.

Kita akan membincangkan daripada aspek spiritual, bagaimana menangani peperiksaan.

Luruskan niat


Peperiksaan bukan sekadar gred atau markah, ia bertujuan menguji pemahaman, sejauh mana kita menguasai sesuatu subjek itu.
Baik ilmu agama , mahupun ilmu sains - kita percaya semuanya Ilmu Allah.
Yang paling utama hakikatnya, sebagai muslim perlu kita aplikasikan konsep ibadah, belajar dan menjawab peperiksaan kerana Allah. Hal ini kerana, jika kita tidak mampu untuk mencapai apa yang kita harapkan pun, ganjaran Allah sudah sedia menanti lantaran keikhlasan dan ketulusan hati kita ingin mencapai redha-Nya.

Bulatkan usaha.


Ya, usaha perlu disempurnakan, sesempurna bulatan yang disifatkan Leonardo da Vinci sebagai bentuk geometrikal yang paling sempurna. Dalam kesibukan kita berusaha dan menenggelamkan diri kita dalam larutan formula dan kolam latihan serta ombak pembacaan, jangan terlupa akan usaha yang tidak kurang pentingnya - doa dan doa dan doa yang menjadi mediator kepada hasil pencapaian kita.

Mulakan pagi anda dengan ar-Rahman, semoga rahmat Allah meliputi diri anda sepanjang peperiksaan.
Baca bismillah sebelum mula menjawab, dan berdoalah agar dipermudahkan urusan. Tidak perlu berbahasa arab jika tidak tahu, kerana Allah melihat isi hati, bukan lenggok bahasa (Namun, jika ada doa yang ma'thur-bersumberkan hadits atau ayat al-Quran - itu lebih utama)
Jika terlupa, bacalah solawat dan beristighfarlah. Sesungguhnya seperti mana pesan ulama' agung iaitu Waki' kepada anak muridnya Imam asy-Syafie yang dirakamkan dalam salah satu sya'ir imam asy-Syafie:

Aku mengadu kepada Waki' akan kekurangan hafazanku,
Waki' menunjuki untuk meninggalkan maksiat,
Kerana Ilmu itu cahaya
Dan cahaya tidak singgah di hati pelaku maksiat

yang terakhir, jangan putus asa. Cubalah untuk menjawab dengan teliti dan tenang, tidak terburu-buru dan jangan sesekali TERLEBIH YAKIN. Sifat itu hanya memakan diri dan meruntuhkan keyakinan jika keputusannya tidak seperti yang diharapkan.

TAWAKKAL

Ini ialah satu konsep yang amat penting. Setelah usaha kita lakukan sebaik mungkin, maka serahkan pada Allah untuk menentukan keputusannya. Ingat, jika niat di awal sudah kerana Allah, baik buruk keputusannya, tetap akan diberi ganjaran.

Peperiksaan bukan di dunia sahaja, di Padang Mahsyar ada yang lebih berat menanti. Maka, apakah yang lebih utama dari kemenangan abadi dengan beroleh kehidupan syurgawi?

Moga Allah berkati, moga Allah redha.

Bak kata Raju Rastogi dalam filem  3 Idiots - "Fear is not good for grade"

La tahzan, innAllah ma'na- Jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita

Aal Iz Well, insyaAllah =)

0 comments:

 

©2009 INTI I.U. MCS | by TNB