semoga kita memperoleh manfaat daripada setiap kata-kata yang keluar dari bibir kita

Wednesday, May 26, 2010

Ringkasan Halaqah:Wudhu'

Alhamdulillah, Allahumma sholli 'ala Muhammad,wa'ala Ali-Muhammad, hari Khamis lepas, sebuah majlis ilmu HALAQAH dapat diteruskan lagi dengan jayanya.Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pak Cik Kamaruddin kerana maish lagi meneruskan usaha beliau untuk menyampaikan mutiara-mutiara ilmu kepada kita.

Permulaan kelas dimulakan dengan siwak  yang sangat-sangat digalakkan sebelum wudhu' sehinggakan Nabi SAW menganggap siwak itu akan diwajibkan kerana kerapnya Allah SWT menyuruh baginda berwudhu'.

Mengupas tajuk wudhu',yang merupakan kunci kepada solah sepertimana niat itu menjadi kunci kepada ibadah, saya ingin datangkan makna literal yang terselindung di sebalik perkataan wudhu' itu sendiri. Wudhu merupakan kata terbitan (masdar) daripada perkataan wa-dha-a yang bermakna bercahaya, wadha-a berbeza dengan nur yang mana nur merupakan cahaya yang terbit dari sesuatu seperti pantulan atau biasan, manakala wadha-a ialah sinaran yang datang dari sumbernya yang tersendiri.

Sungguh, Allah itu maha Bijaksana, dan beruntunglah para hamba-Nya yang menemui hikmah dalam setiap suruhan dan tuntutan Allah SWT. Wudhu' lebih daripada sekadar mengharuskan solah kerana setiap basuhan itu mengandungi falsafahnya yang tersendiri dan mampu membawa diri kita lebih dekat dengan Allah.

Dalam Kitab Bidayatul Hidayah oleh Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, beliau telah menyenaraikan doa-doa yang harus dibaca setiap kali anggota wudhu' itu dibaca. Dan intipati setiap doa itu ialah supaya setiap anggota itu tidak mendatangkan masalah kepada kita kelak di Padang Mahsyar.

Pak cik Kamaruddin juga menceritakan mengenai seorang sahabat nabi SAW yang tatkala mengambil wudhu' menggeletar tubuh badannya. Apabila ditanya kepada sahabat RA itu, beliau menjawab, aku gerun kerana bakal menghadap Raja kepada segala raja. Sehubungan dengan itu Pak Cik menegaskan, khusyu' dalam solat juga boleh dicetus sejak dari proses wudhu' lagi dan bersiwak.

Wudhu' yang sempurna boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Dan setiap titis air wudhu' itu bakal memberikan cahaya kepada kita kelak di Padang Mahsyar.

Kesimpulannya, wudhu' lebih dari sekadar membasuh anggota wajib untuk mengharuskan solat. Ia adalah satu rahmat Allah kepada kita umat Islam , yang mana jika diteliti dan difahami falsafah di sebalik kefardhuannya nescaya setiap individu umat Islam itu mampu menjadi lebih dekat kepada Allah.

Wudhu' juga mampu dimanifestasikan dengan malu terhadap Allah. Bagaimana? Ayuh datang ke sesi Halaqah minggu ini, 27 Mei 2010 untuk kupasan yang lebih mendalam daripada Pak Cik. =)

0 comments:

 

©2009 INTI I.U. MCS | by TNB