semoga kita memperoleh manfaat daripada setiap kata-kata yang keluar dari bibir kita

Sunday, September 5, 2010

Bulan Ramadhan:Antara Keseronokan Berpuasa dan Puasa Seronok

      Bagi orang mukmin,dia sentiasa berharap,berazam,bercita-cita dan berusaha agar hari ini akan lebih baik berbanding  dari semalam  dan esok akan lebih baik berbanding hari ini.Maka seluruh aspek kehidupan sentiasa ada peningkatan,terutama dalam soal-soal ibadah khusus. Kerana ibadah khusus seperti sembahyang,puasa,wirid,zikir,doa dan lain-lain berperanan mendekatkan diri dengan Allah.
      Orang mukmin yang hidupnya sentiasa melaksanakan perintah Allah SWT,sangat mengharapkan bantuan,bimbingan  dan pmpinan Allah SWT.yakni,amat penting dalam membuat kerja-kerja yang diperintahkan oleh Allah disertai  oleh bentuan Allah.Bantuan Allah berkait rapat dengan kedudukan hamba di sisi Allah.Tidak akan berjaya,tiada nilai di sisi Allah bagi mereka yang melupakanNya.Allah tidak pandang,tidak tolong ,tidak Bantu orang yang jauh dari Allah,lalai ,leka dan lebih-lebih lagi kalau derhaka kepadaNya.
      Untuk terus mendapat pimpinan dan pembelaan dari Allah,maka perlu hati sentiasa merintih,mengharap,memohon dan bergantung kepada Allah.Perlu selalu muhasabah diri,mengkoreksi diri,membaiki diri dan memperbetulkan kesalahan diri.Ibadah pula,terutamanya sembahyang,bukan sahaja diperhalusi dari segi zahirnya bahkan dari sudut batinnya.Perlu hadirkan hati dengan rasa takut,bimbang,rindu,cinta,harap,gementar,hina diri,rasa dilihat,rasa didengar,rasa dikuasai dengan penuh penumpuan dalam sembahyang. Satu waktu yang luput amat rugi andainya sembahyang itu sekadar gerakan fizikal dan kosong dari segi batiniahnya.sembahyang umpama itu tidak membakar dan menghancurkan sifat-sifat keji.Mungkin sekadar sah dan memperolehi pahala.
     Tidak terkecuali juga dengan ibadah puasa Ramadhan yang hanya datang setahun sekali.Andainya luput puasa sebulan Ramadhan itu tanpa sebarang natijah, adalah  amat merugikan dan terpaksa menunggu pula kedatangan Ramadha tahun hadapan.Itupun sekiranya direzekikan oleh Allah lanjutan usia hingga  bertemu  Ramadhan akan datang.
     Oleh itu perlu sangat kita umat Islam bersikap serius terhadap bulan istimewa ini.Dan keistimewaan bulan Ramadhan ini bukan pada makan minum dan hari raya.Tetapi ia bersifat maknawiyah.Sebab itu disebut bulan penuh barakah(berkat).Bulan berkat  ini tiada langsung kaitannya dengan keistimewaan yang bersifat lahiriah atau fizikal.
    Marilah kita sama-sama menghayati Ramadhan agar ianya benar-benar menepati kehendak Allah dan RasulNya  dan terhindar dari kehendak nafsu dan Syaitan.

KESERONOKAN BERPUASA

1.  Pahala berganda


    Ramadhan ini bolehlah diibaratkan bulan menerima bonus tahunan yang berupa duit, semua orang menguntum senyum lebar sebagai tanda kegembiraan.Bagi para mukmin pahala berganda adalah rahmat Allah yang tidak terhingga.Setiap kebajikan, para mukmin mendapat bonus pahala yang bakal meninggikan darjat di Akhirat nanti.Gandaan pahala itu menjadi dorongan untuk melebihkan amal.Berebutlah para mukmin memburu bonus pahala selama sebulan ini.Andainya satu pahala dibalasi oleh Allah dengan sekuntum bunga syurga maka nilainya lebih tinggi berbanding dunia dan segala isinya.

 2.   Allah Subhanahuwata’ala buka pintu Syurga

       Ini sebagai tanda bahawa Allah membentangkan rahmatNya dengan luas di bulan Ramadhan agar hambaNya lebih seronok membanyakkan amalan dan mendekatkan diri kepada Allah.

3.    Ditutup pintu Neraka

      Malah sepanjang bulan Ramadhan siksa kubur juga turut direhatkan. Para mukmin tentulah mengharapkan keampunan Allah.Penutupan pintu neraka sebagai isyarat bahawa Allah mengampuni dosa para hambaNya yang memohon di  bulan Ramadhan

4.   Syaitan dibelenggu

     Bagi memudahkan para mukmin memperoleh kesempurnaan puasa dan beribadat, maka dibebaskan mereka dari gangguan syaitan. Tentulah lebih ringan beribadah dalam keadaan hanya sekadar berhadapan dengan dorongan nafsu sahaja. Ertinya dua musuh utama sudah dikurangkan kepada satu sahaja. Tentu lebih mudah bertarung dengan satu musuh berbanding dengan dua.


5.   Pengisian rohani

     Walaupun sekadar muakkad, tarawih bermaksud untuk mengisi ruang rohani.Dalam keadaan fizikal yang sedikit lema, nafsu sedikit dikekang dan didera, maka serentak dengan itu ada pula program pengisian rohani.Kekuatan rohani (dalaman) amat penting dalam memikul beban dan tanggungjawab sebagai mukmin. Inilah faktor penentu sama ada seseorang itu mampu memikul perintah Allah dan meninggalkan larangan.Apabila rohani kosong atau lemah, ibadah yang lain pun turut cuai, syariat longgar, disiplin hidup pun tiada, akhlak pula hancur musnah.Maka banyaklah berlaku berbagai angkara negative dalam kehidupan.Hilang kebahagiaan dan keharmonian hidup.

6. Kesihatan jasmani dan rohani

    Ramai pakar kesihatan bersetuju iaitu makanan berperanan besar dalam menentukan kesihatan manusia.Manakala makan yang berlebihan  pula adalah punca berbagai penyakit.Setiap agama juga ada anjuran untuk berpuasa bagi penganutnya.
   Secara tidak langsung Allah Taala memerintahkan hambaNya agar merehatkan perut mereka selama sebulan dalam setahun.Kerehatan itu mengembalikan fungsi sempurna perut yang telah bekerja sepenuh masa di bulan lain.Sebab itu tidak digalakkan mensendatkan perut di waktu malam walaupun telah kosong di waktu siang.Prinsip umat Islam dalam soal makan ialah “ makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang”,memberi natijah pengurangan penyakit di kalangan umat Islam.

7.    Penjimatan

      Waktu siang sudah tentu tiada perbelanjaan untuk makan minum yang menurut lazimnya  tiga kali sehari, ini sekiranya tidak di hitung makanan sampingan yang lain.Bulan Ramadhan juga kurang aktiviti berpeleseran dan seumpamanya.Waktu malam pula selain berbuka sedikit, makan malam serta bersahur, tentulah tiada tumpuan kepada makan kerana beribadah dan tidur.Sekiranya penghayatan sebegini berlaku tentulah dapat menjimatkan perbelanjaan serta tanpa berlebihan dan membazir.Dan elok pula kalau dialih perbelanjaan itu kepada sedekah dan kebajikan lain demi untuk mendapat pahala berganda.

 
8.   Kehalusan perasaan dan ketajaman akal
             
     Rasulullah dan para sahabat hingga kepada ahli sufi, mereka memilih makan sedikit, sekadar memperoleh tenaga untuk beribadah dan bekerja.Sedikit makan menjadikan perasaan bertambah halus, peka, atau sensitif. Dapat merasai kebesaran Allah serta mudah tersentuh hati terhadap dosa.Akal juga tajam dan dapat mengenal kebenaran. Ahli tafsir dan hadis sangat mementingkan kehalusan perasaan untuk dapat merasai roh wahyu dan hadis.Tajam pula akal hingga mudah memahami sesuatu maksud sama ada tersurat atau tersirat.Para pemimipin pula mudah dapat merasakan gelombang kehidupan masyarakat.Susah senang masyarakat mudah terkesan oleh hatinya.

   
9. Merasai kesusahan fakir miskin

    Orang yang sentiasa kenyang, lantas menyangka orang lain pun kenyang seperti dirinya.Dan tidak pernah merasai bagaimana peritnya penderitaan dan kelaparan golongan fakir miskin.Melalui puasa bulan Ramadhan, golongan kaya dan para pemimpin turut merasai bagaimana nasib fakir miskin yang sering kelaparan.Agar dengan itu datangnya rasa simpati golongan kaya dan pemimpin terhadap mereka yang dalam kesempitan hidup.

10. Fitrah

     Manifestasi dari simpati golongan kaya itu maka Allah mengajarkan pula tanggungjawab social dengan diwajibkan zakat fitrah.Fitrah itu selain mensucikan kecacatan berpuasa, ianya juga merupakan satu bentuk jalan penyelesaian bagi meringankan sedikit beban golongan kurang berada.Ini termasuk memberi kegembiraan kepada mereka ketika berhari raya.Selain itu Allah juga menganjurkan agar jurang perbezaan antara golongan-golongan ini tidak terlalu ketara.


PUASA SERONOK

1. Makan berganda

    Jualan berbagai juadah ada di mana-mana saja yang memang pula wujud di bulan Ramadhan saja.Juadah pula memang merangsang nafsu makan.Berbuka dan makan malam seolah-olah menebus kembali perut kosong sepanjang siang.Malah memilih juadah yang paling dipersetujui oleh selera.

2. Belanja berlebihan

    Kedapatan mereka yang sepanjang Ramadhan perbelanjaannya lebih banyak berbanding hari biasa.Selera waktu siang tanpa kawalan hingga memborong apa saja. Selepas berbuka sedikit, sudah terasa sendat kerana penguncupan perut.Akhirnya berlakulah pembaziran.Sepatutnya makan tidak lari dari kelaziman di bulan Ramadhan.

3. Kekenyangan

    Lantaran asyik membesarkan makan , sembahyang maghrib seringkali terlewat.Malah ada yang terus menghadap makanan hingga ke hujung waktu.Sembahyang terawih pula hilang rasa kehambaan sebaliknya rasa terpaksa,malas, terbeban ,letih dan mengantuk.

4. Hari raya

    Belum pun tiba bulan puasa,ada di antara gedung membeli belah sudah mempromosikan jualan Hari raya.Inilah satu tradisi yang sukar untuk dipecahkan.Dikalangan uamt Islam pula terlalu memberi tumpuan kepad sambutan Hari raya.Akibatnya hilang pengertiannya Hari raya yang sebenar.Kesibukan dengan pakaian baru, perabut baru ,langsir baru,pinggan mangkuk baru,bunga plastik baru ,cat rumah baru,kuih muih resepi baru menyebabkan hilang tumpuan membesarkan puasa dan mencapai kemenangan(perayaan)menewaskan kerakusan nafsu.Lebih merugikan kita hilang nikmat untuk merebut pahala ibadat berganda di sepuluh malam terakhir.
Orang yang seronok berpuasa, Ramadan ditunggu dengan kegembiraan dan sedih apabila tamat.Orang yang berpuasa seronok, tersiksa jiwanya kerana kedatangan Ramadhan dan merasa lega dan gembira apabila ianya tamat”

Maaf atas sebarang kekhilafan.

dipetik daripada:
 siri motivasi,permata minda

0 comments:

 

©2009 INTI I.U. MCS | by TNB